
Adun Chukai yang juga exco infrastruktur, utiliti dan pembangunan luar bandar itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Azman Mustafa, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anak kandungnya, Mohd Najmi Hanafiah, pada 15 Ogos 2020.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama pada 18 Jun 2020 bagi mendapatkan suapan untuk seorang lagi anaknya, Ahmad Kamil Hanafiah.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat EPIC Berhad, Tingkat 2, Bangunan Annexe, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Terdahulu, SPRM memohon jaminan sebanyak RM50,000 terhadap tertuduh.
Namun, mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fadly Hashim.
Mahkamah menetapkan 12 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.