Tak perlu parti baharu perjuang nasib Melayu, kata Khaled

Tak perlu parti baharu perjuang nasib Melayu, kata Khaled

Naib Presiden Umno itu berkata parti baharu hanya tertumpu pada perebutan kuasa bukannya memperjuangkan masalah rakyat.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata Umno terbuka menerima mana-mana ahli Bersatu yang mahu kembali bersama parti itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata tiada keperluan untuk mengwujudkan sebuah parti politik Melayu yang baharu semata-mata untuk memperjuangkan nasib dan hak kaum itu.

Sebaliknya, beliau berkata orang Melayu seharusnya kembali bersatu di bawah satu wadah besar, lapor Berita Harian.

Mengambil konflik dalaman Bersatu sebagai contoh, Khaled berkata ia jelas menggambarkan kerapuhan sebuah parti baharu hanya tertumpu pada perebutan jawatan bukannya memperjuangkan masalah rakyat.

“Apa yang berlaku dalam Bersatu menggambarkan sebuah parti yang saya percaya berkisarkan soal rebut jawatan sahaja, bukan soal memperjuangkan keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, jadi ia rapuh.

“Kita tahu bagaimana parti itu dibentuk, jadi baru berapa tahun parti itu berpecah. Ini beri gambaran bahawa tidak boleh nak letak dan taruh harapan tinggi kepada parti baharu seperti Bersatu,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Bersatu dilanda krisis kepimpinan sejak beberapa bulan lalu hingga membawa kepada pemecatan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dan beberapa pemimpin serta Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Semalam dilaporkan, Hamzah yang juga ketua pembangkang dijangka menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ minggu depan, bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan, berkata platform politik baharu itu juga akan disertai ketua-ketua Bersatu yang juga sudah pun menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut berkenaan.

Sementara itu, Khaled berkata, Umno terbuka menerima mana-mana ahli Bersatu yang mahu kembali bersama parti itu.

“Sebagai pengerusi Rumah Bangsa, saya alu-alukan jika ada permohonan. Saya harap kita boleh balik dalam satu wadah untuk perjuangkan Melayu dan pastikan Melayu kuat hadapi pelbagai cabaran kerana ini tidak menguntungkan Melayu kalau terus berpecah.

“Kita balik (ke Umno) dan pastikan satu wadah yang besar untuk kita mulakan langkah pertama, kemudian kita fikirkanlah bagaimana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.