Kematian Indiran tiada unsur buli, jangan politikkan isu, kata Khaled

Kematian Indiran tiada unsur buli, jangan politikkan isu, kata Khaled

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata hasil bedah siasat mendapati tiada unsur penderaan atau buli dikesan dalam kematian anggota tentera Truper K Indiran.

khaled nordin
Menteri Pertahanan Khaled Nordin tidak menolak kemungkinan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat kematian anggota tentera Truper K Indiran, jika perlu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Tiada unsur penderaan atau buli dikesan dalam kematian anggota tentera Truper K Indiran, kata Menteri Pertahanan, Khaled Nordin.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan berdasarkan hasil bedah siasat pagi tadi.

“Jangan dipolitikkan isu ini, biarlah perkara ini disiasat dahulu,” katanya selepas menyerahkan Bantuan Persekolahan Kembali ke Sekolah bagi Parlimen Pasir Gudang di sini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat perkara itu, jika perlu.

Sebelum ini, MIC Pulau Pinang menggesa siasatan menyeluruh dan telus ke atas kematian mendiang Indiran, 22, dan mendakwa kemungkinan wujud kecederaan dalaman yang memerlukan siasatan lanjut.

Pada 18 Feb lepas, Indiran yang sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang ditemui tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.

Mendiang adalah anak kepada Mejar C Kayamboo, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T berlepas dari Pangkalan TUDM Subang sebelum terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, pada 2016.

Mendiang dijangka dikebumikan bersebelahan pusara bapanya di Tanah Perkuburan India Batu Lanchang hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.