
Di sinilah Chow Hon Meng, 76, masih gigih mengendalikan premis yang menawarkan perkhidmatan mengasah pisau, gunting dan bilah pencukur yang diwarisi bapanya untuk hampir enam dekad.
Walaupun mempunyai dua anak yang kini melonjak dewasa, kemahirannya tidak dapat diturunkan kepada mereka kerana minat dalam bidang profesional yang jauh berbeza.
Meskipun begitu, Chow tidak menganggap hal ini sebagai satu masalah malah bangga dengan pilihan anak-anaknya yang boleh menjamin kehidupan lebih baik.
“Mereka tidak berminat kerana tahu perniagaan ini tidak mendatangkan keuntungan besar. Ia cukup sekadar untuk meneruskan hidup, bukan untuk menjadi kaya.
“Saya tidak sedih. Apa yang penting dengan perniagaan ini, saya dapat jana pendapatan dan boleh hantar anak-anak menyambung pelajaran ke luar negara,” katanya kepada FMT.

Mewarisi perniagaan ini daripada ayahnya, Chow menganggap ia sebagai satu rahmat memandangkan ia telah menjadi sumber pendapatan utama buat menampung keluarga.
Chow turut menjelaskan perniagaannya masih mampu bertahan kerana kaedah tradisional menggunakan batu asah yang membezakan hasil kerjanya dengan produk di kedai lain.
“Bila guna mesin, hasilnya tak begitu memuaskan. Sebab itulah orang lebih suka saya buat secara manual,” katanya.
Promosi guna ‘buah mulut’
Ramai mengetahui perkhidmatan Chow melalui buah mulut pelanggan, tanpa bergantung kepada iklan atau promosi besar-besaran.
Muhammad Rahman, seorang penjaga kuda, antara pelanggan tetap yang hampir 16 tahun ke kedai itu untuk membeli dan mengasah pisau cukur bulu kuda.
“Saya pernah juga pergi ke kedai lain tetapi hasilnya tidak sama. Di sini, kerja lebih teliti,” ujarnya sambil menambah keramahan Chow menambah membuatkan urusan jual beli lebih menyenangkan.

Sempena Tahun Baharu Cina, ia turut membawa rezeki tambahan kepada Chow kerana kedainya mendapat lebih banyak tempahan.
“Semasa perayaan, mereka (pelanggan) menyediakan lebih banyak hidangan, jadi mereka mahu pisau yang betul-betul tajam,” katanya yang berharap terus diberi kekuatan meneruskan perniagaan itu.
Di tengah arus pemodenan, kedai barangan logam kecil milik Chow itu terus berdiri bukan kerana kekayaan, tetapi kerana kepercayaan terhadap warisan, rezeki dan kelangsungan hidup.
“Selagi masih mampu bekerja, kemahiran ini akan diteruskan – satu hari pada satu masa” katanya.