
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata bekas timbalan presiden itu masih boleh bergantung pada bekas partinya, Umno, serta rakan sekutu Perikatan Nasional iaitu PAS pada masa depan.
“Buat masa ini, beliau sedang jatuh, tetapi beliau berkemungkinan besar akan mencari jalan sebagai ahli bebas tentang bagaimana beliau boleh bekerjasama dengan Umno atau PAS tanpa menyertai (mana-mana daripada mereka) kerana beliau tidak mahu kehilangan keahlian Dewan Rakyat,” katanya kepada FMT, sambil menambah Hamzah masih mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dalam Bersatu.
Menurut undang-undang anti-lompat parti, kerusi seseorang Ahli Parlimen akan dikosongkan jika beliau menyertai parti lain daripada parti yang diwakilinya semasa dipilih. Pengecualian diberikan kepada Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.
Awal hari ini, Bersatu memecat Hamzah, yang juga ketua pembangkang di Parlimen, di tengah-tengah kemelut kepimpinan antara beliau dan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Lembaga disiplin menyatakan Hamzah melanggar peruntukan perlembagaan parti yang memerlukan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika, dan tata kelakuan parti. Beberapa Ahli Parlimen Bersatu, yang dilaporkan berpihak kepadanya, turut dipecat daripada parti.
Kembali ke Umno?
Kemungkinan tentang kepulangan Hamzah pernah dibangkitkan Presiden Zahid Hamidi, pada 10 Feb, apabila beliau berkata Umno terbuka untuk menerima semula bekas ahli, termasuk Hamzah, susulan kemelut dalaman dalam Bersatu.
Hamzah antara beberapa bekas pemimpin Umno yang berhijrah ke Bersatu pada 2018.
Zahid berkata bahawa inisiatif Rumah Bangsa menyediakan platform bagi sesiapa yang berhasrat untuk kembali atau menyertai Umno, sama ada secara individu atau berkumpulan, lapor Utusan Malaysia.
Azmi bagaimanapun berkata Hamzah mempunyai “sejarah yang lebih sukar dengan Umno” berbanding bekas pemimpin Umno yang lain seperti Khairy Jamaluddin atau Isham Jalil.
“Saya rasa Hamzah tidak boleh berbuat apa-apa (sekarang) sebelum PRU akan datang. Beliau tidak boleh menyertai Umno atau PAS. Oleh itu, beliau akan kekal sebagai ahli bebas,” tambahnya.
Azmi, dan James Chin dari Universiti Tasmania, berkata Bersatu dan PAS dijangka akan bersaing untuk jawatan ketua pembangkang di Dewan Rakyat kerana Hamzah tidak mungkin akan mengekalkan jawatan tersebut.
Chin berkata Bersatu pasti mahu Ahli Parlimennya menggantikan Hamzah atau membenarkan PAS melakukannya.
Apabila ditanya sama ada Hamzah, yang merupakan Ahli Parlimen Larut, patut melobi PAS untuk membantunya kekal dalam peranan itu, penganalisis itu berkata: “Ia tidak akan membawa banyak perbezaan.”
Azmi berkata PAS, sebagai parti pembangkang terbesar, perlu mengambil alih peranan ketua pembangkang. PAS mempunyai 43 kerusi di Dewan Rakyat.
“Bagaimanapun, saya tidak fikir Muhyiddin akan membiarkan perkara itu berlaku dengan mudah. PAS perlu berusaha keras untuk jawatan tersebut,” tambahnya.