
Menurut sumber, Azam mempunyai pendapatan dan simpanan mencukupi, termasuk faedah persaraan, untuk membiayai pembelian tersebut. “Beliau menerima gratuiti persaraan dan ‘golden handshake’ berjumlah hampir RM1.2 juta apabila beliau pertama kali bersara pada 2023. Jadi beliau mempunyai dana yang lebih daripada cukup,” katanya.
Sumber berkata pendapatan Azam, yang memegang pangkat perkhidmatan awam Gred Utama Turus II, adalah kira-kira RM50,000 sebulan, termasuk pencen dan gaji bulanan. Azam adalah ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, Azam beli saham Velocity Capital pada awal tahun lepas dan menjualnya tidak lama kemudian. Ini selari dengan dokumen dipetik FMT sebelum ini dan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang menunjukkan beliau membeli saham tersebut pada 15 Jan dan menjualnya pada Julai.
Kontroversi mengenai pegangan saham Azam timbul daripada laporan Bloomberg, yang menyatakan beliau memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital, atau 1.7% daripada modal berbayar syarikat itu, bernilai kira-kira RM800,000 berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lepas.
Laporan itu mengatakan nama Azam masih tertera dalam daftar pemegang saham syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran.
Azam berkata beliau akan menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg berhubung laporan itu, mendakwa ia berniat jahat serta mencalarkan reputasi beliau dan SPRM.
Tajuk kecil: Kerugian RM400,000 daripada jual beli saham
Menurut sumber, Azam kerugian lebih RM400,000 dalam urusan jual beli saham tersebut tahun lepas, dan urusan sahamnya telah diisytiharkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia.
Sumber juga berkata Azam secara proaktif mengisytiharkan sahamnya, walaupun peraturan menetapkan beliau mempunyai tempoh lima tahun lagi untuk membuat pengisytiharan selepas pembelian. “Sekarang ini akaun dagangannya kosong,” katanya.
Sumber itu berkata pengisytiharan aset dibuat secara sulit bawah peraturan semasa dan tidak bertujuan untuk didedahkan kepada umum.
“Beliau tiada kewajipan untuk mengisytiharkan aset secara terbuka. Tiada undang-undang atau peraturan. Anda masukkan angka ke dalam sistem (kerajaan). Itu sahaja,” tambahnya.