
Ketua pesuruhjaya SPRM berkata, beliau mengakui tidak peduli dengan tuduhan itu kerana ia dipetik daripada maklumat tidak sah.
“Saya tak pedulilah YouTube, YouTube ni saya tak peduli tuan-tuan. Ini semua kalau mereka ada apa keterangan yang mereka ambil daripada mana-mana maklumat tidak sah, terpulang kepada mereka.
“Sesiapa nak buat laporan polis pergilah lapor pada polis, saya tidak kisah mengenainya. Kamu (wartawan) ada etika sendiri kan. Adakah kamu ingin ambil maklumat dan berita dari maklumat yang tidak sahih.
“Kalau ada bukti, pergi kepada pihak berkuasa dan buat laporan. Senang saja. Buatlah apa video pun, apa-apa video pun kalau ada elemen jenayah, pergi ke mahkamah dan pihak berkuasa. Saya okey,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Sebelum ini, bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, menerusi hantaran di media sosial menyorot laporan sebuah media antarabangsa yang mendakwa SPRM dibolosi beberapa individu terpalit pelbagai tuduhan jenayah termasuk menggunakan syarikat peminjam wang berlesen untuk ‘mencuci’ duit hasil aktiviti jenayah.
Sementara itu, Azam berkata beliau sudah menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg dan akan meneruskan tindakan saman jika tiada maklum balas dalam tempoh ditetapkan.
“Saya dah hantar LOD dalam tempoh 14 hari, kalau dia (Bloomberg) tak menjawab apa yang kami kata tu, saya akan teruskan samanlah ‘till the end’,” katanya.
Sebelum ini, Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Mengulas lanjut, Azam berkata setakat ini beliau belum dipanggil untuk memberikan keterangan, namun bersedia memberikan kerjasama dan menyerahkan semua dokumen berkaitan.