Tarikh mesyuarat MT PN belum ditetapkan, kata Takiyuddin

Tarikh mesyuarat MT PN belum ditetapkan, kata Takiyuddin

Setiausaha agung PAS berkata pemilihan tarikh bergantung kepada persetujuan semua pemimpin parti dalam gabungan berkenaan.

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata surat jemputan sudah dihantar kepada semua presiden parti komponen dan pihaknya sedang menyelaraskan jadual bagi memastikan kehadiran mereka.
PETALING JAYA:
Tarikh mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) untuk membincangkan pengerusi baharu bagi menggantikan Muhyiddin Yassin hanya boleh dimuktamadkan selepas mencapai kata sepakat presiden empat parti komponen gabungan itu.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata tarikh berkenaan bergantung kepada persetujuan semua pemimpin parti dalam gabungan berkenaan.

“Tarikh belum ditetapkan lagi. Kita bergantung kepada semua presiden empat parti dalam PN.

“Saya sudah memohon kata sepakat daripada kesemua mereka supaya kita boleh bersetuju mengenai satu tarikh bersama-sama.

“Masih ada yang belum memberikan maklum balas,” katanya kepada pemberita, menurut Harian Metro.

Takiyuddin sebelum ini berkata mesyuarat berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat dan beliau menjangkakan ia diadakan selepas 20 Feb ini.

Menurutnya, surat jemputan telah dihantar kepada semua presiden parti komponen dan pihaknya sedang menyelaraskan jadual bagi memastikan kehadiran mereka.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu sebelum ini mengadakan pertemuan dengan semua presiden parti komponen PN di kediamannya selepas mesyuarat MT gabungan itu yang dijadualkan pada malam sama dibatalkan.

Difahamkan, pertemuan itu ialah mesyuarat awal bagi ‘menentukan hala tuju’ sebelum mesyuarat MT PN berlangsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.