Menteri enggan diheret ke dalam debat layanan terhadap Zamri Vinoth

Menteri enggan diheret ke dalam debat layanan terhadap Zamri Vinoth

Menteri Saifuddin Nasution Ismail kata tafsiran situasi bergantung pada sudut pandang pihak-pihak yang melihat gambar tersebut dan mereka yang ditahan.

Penceramah, Zamri Vinoth, ditahan pada Sabtu berkaitan rancangan perhimpunan untuk membantah apa yang didakwa sebagai rumah ibadat ‘haram’.
KUALA LUMPUR:
Menteri Dalam Negeri enggan diheret ke dalam perdebatan mengenai dakwaan bahawa penceramah kontroversial, Zamri Vinoth, diberi ‘layanan istimewa’, selepas gambar beliau dihidangkan makanan ketika dalam tahanan tular di media sosial.

Saifuddin Nasution Ismail beritahu Dewan Rakyat bahawa tafsiran situasi tersebut bergantung pada sudut pandang pihak-pihak yang melihat gambar tersebut dan mereka yang ditahan.

“Jadi bergantung sudut pandang mana. Ya, sebab itu saya tak mahu pergi kepada yang tajuk-tajuk itu,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi kementeriannya.

Saifuddin menjawab pertanyaan V Ganabatirau (PH-Klang), yang menyatakan bahawa Zamri seolah-olah dihidangkan makanan di atas meja ketika dalam tahanan selepas ditangkap pada Sabtu.

Ganabatirau berkata beliau tidak pernah dilayan sedemikian rupa ketika ditahan sebelum ini.

“Saya pernah tahan banyak kali, puluhan kali. Ya saya, tak pernah orang saji makan atas meja untuk saya. Saya percaya menteri pun pernah (ditahan), kita pernah ditahan,” katanya.

Zamri dan 18 individu lain ditahan berkaitan rancangan perhimpunan untuk membantah apa yang didakwa sebagai rumah ibadat ‘haram’. Bagaimanapun, protes tersebut gagal dilaksanakan.

Polis menyatakan siasatan terhadap Zamri dan seorang penganjur bersama dibuka bawah Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Menjawab soalan tambahan daripada RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai sama ada Zamri akan didakwa di bawah Akta Hasutan, Saifuddin berkata beliau akan memaklumkan Dewan Rakyat apabila kertas siasatan lengkap.

“Buat masa sekarang, saya belum ada apa-apa maklumat melainkan berita tangkapan seperti mana yang kita sedia maklum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.