
Beliau merujuk ‘pencapaiannya’ meraih 6,099 undi pada pertembungan dengan Khalil Hadi, iaitu anak Presiden PAS Hadi Awang di DUN Batu Buruk yang menang dengan majoriti 17,668 undi.
Malah, beliau mendakwa dengan sokongan Barisan Nasional (BN) yang diharapkan memberi laluan kepadanya, dapat merampas kerusi itu daripada PAS.
Zamir berkata, tidak mustahil keputusan ‘positif’ juga boleh diulanginya apabila berdepan Samsuri yang diangkat oleh segelintir pemimpin PAS sebagai calon perdana menteri PN walaupun belum ada keputusan muktamad.
“Saya dah pernah lawan anak tok guru (Khalil) di kubu kebal PAS DUN Batu Burok pada 2023 dan boleh dapat balik deposit.
“Tak takut (lawan Samsuri). Kemaman bukan kubu PAS pun,” katanya kepada FMT.
Kenyataan pengerusi Biro Tani Nasional Amanah itu berhubung kekuatan PAS di Parlimen Kemaman mungkin bersandarkan kerusi terbabit mula dikuasai PAS sejak PRU14.
Pada PRU14, penyandang Ahmad Shabery Cheek daripada BN kalah kepada calon PAS Alias Abd Hamid yang mengekalkan kerusi itu pada PRU15, dengan menewaskan bekas menteri besar Ahmad Said.
Namun, kemenangannya dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya yang menyebabkan PRK Kemaman diadakan.
Samsuri yang membawa cabaran PN dan PAS menang dengan majoriti 37,220, menewaskan bekas panglima angkatan tentera Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada BN.
Berhubung kerjasama dengan BN dan Pakatan Harapan (PH), Zamir yakin ia formula terbaik bukan sahaja di Kemaman tetapis seluruh kerusi DUN dan Parlimen.
“Jika gabungan PH-BN lawan PAS di Terengganu, saya yakin boleh menang di kemaman. Mungkin rakyat Terengganu akan buat seperti di Kelantan satu ketika dahulu iaitu Parlimen beri kepada Umno-BN (manakala) DUN kekalkan PAS,” katanya.
Pada PRN Terengganu 2023, PN diketuai PAS menang semua 32 kerusi DUN selain menyapu bersih lapan Parlimen setahun sebelumnya.