Keluarga penempatan semula mahu pendapatan Empangan Bakun dikongsi

Keluarga penempatan semula mahu pendapatan Empangan Bakun dikongsi

Persatuan Penduduk Asal Tasik Balui berkata banyak keluarga yang kini dipindahkan bagi membuka jalan kepada pembinaan empangan berterusan berdepan masalah.

Bakun Hydroelectric Dam
Empangan Bakun yang dibuka pada 2011 merupakan projek hidroelektrik terbesar di Malaysia, membekalkan kuasa kepada Sarawak, dengan lebihan tenaga elektrik dijual ke luar negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemimpin masyarakat di Belaga, Sarawak, mahu kerajaan negeri memperuntukkan sedikit pendapatan hidroelektrik Empangan Bakun kepada penduduk yang terkesan kerana projek itu.

Persatuan Penduduk Asal Tasik Balui berkata, sekitar 1% hingga 2% daripada hasil kasar tahunan Sarawak Energy daripada Bakun sepatutnya diperuntukkan bagi keluarga berkenaan, atau levi dikenakan ke atas elektrik yang dijana atau dijual, berdasarkan kadar per kilowatt-jam.

Mereka mencadangkan sebuah tabung amanah komuniti ditubuhkan, yang diurus satu lembaga terdiri wakil komuniti, kerajaan Sarawak, Sarawak Energy, dan pakar bebas, lapor Dayak Daily.

Persatuan berkenaan menyatakan, wang dikumpul akan digunakan untuk pembangunan mata pencarian, pendidikan, dan penjagaan kesihatan, infrastruktur komuniti, pengurusan alam sekitar, serta simpanan luar jangka.

Menurutnya, banyak keluarga kekal berdepan masalah jangka panjang selepas mereka ditempatkan semula bagi memberi laluan kepada pembinaan empangan hidroelektrik terbesar di negara ini, yang mula beroperasi pada 2011.

Empangan itu dimiliki kerajaan negeri melalui Sarawak Energy dan membekalkan tenaga kepada negeri itu, dengan lebihan tenaga dijual ke luar Sarawak.

Persatuan tersebut berkata, kira-kira 10,000 penduduk asal, termasuk komuniti Kayan, Kenyah, Kajang, dan Penan, terkesan apabila mereka ditempatkan semula.

Mata pencarian tradisional mereka — seperti menangkap ikan, memburu, dan aktiviti berasaskan hutan — terganggu, dan mereka mengalami kesan daripada kerosakan alam sekitar, termasuk kehilangan habitat, perubahan aliran sungai, serta penurunan kualiti air.

Keluarga ditempatkan semula kekal berdepan masalah meskipun pelbagai usaha telah dilakukan Sarawak Energy dan kerajaan negeri dalam aspek infrastruktur, bekalan elektrik, dan pemuliharaan.

Semakan FMT menunjukkan hasil pendapatan Sarawak Energy sekitar RM7 bilion setahun dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.