
“Bagi barangan basah, kerajaan masih menjalankan kajian lanjut bagi memastikan aspek kualiti dan keselamatan dapat dipelihara.
“Tetapi, kita sedang mempertimbangkan untuk membenarkan makanan sejuk beku sebagai kategori baharu. Jadi, ayam itu bolehlah kalau yang jenis ‘frozen’,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat sambil menambah pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.
Beliau menjawab soalan tambahan Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai keperluan menambah baik kategori produk SARA bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan makanan, selain barangan kering.
Amir berkata, rangkaian rakan niaga SARA meningkat daripada 700 kedai tahun lalu kepada 10,700 premis di seluruh negara setakat 3 Feb lalu.
Menurutnya, kira-kira 3,000 daripadanya ialah peniaga kecil, dengan sasaran jumlah itu ditambah kepada 10,000 peniaga kecil bagi mengurangkan jarak liputan kepada penerima bantuan.
“Ini akan mengurangkan jarak perjalanan penerima ke kedai runcit terdekat daripada 10km kepada purata 7km saja.”
Mengenai rasional penggunaan MyKad untuk menebus bantuan itu, jelasnya, sistem itu memberi kelebihan kepada pengguna untuk menikmati tawaran berpakej hasil rundingan kerajaan dengan peruncit.
“Contohnya, jika beli menggunakan MyKad, mereka mungkin dapat lebih banyak barang atau diskaun khas. Ini berbeza dengan bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR), di mana tiada tawaran ekstra diberikan peniaga kepada penerima.”
Julai lalu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia menggesa kerajaan memasukkan barangan basah seperti ayam, daging dan ikan dalam senarai pembelian SARA kerana ia keperluan asas rakyat.
Pada 24 Jan lalu, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim dilaporkan berkata, barangan basah antara barang keperluan yang sedang diteliti untuk dimasukkan dalam senarai pembelian SARA yang akan dikemas kini selewat-lewatnya sebelum Ramadan.
Setakat ini, 14 kategori barangan diluluskan dalam bantuan SARA adalah beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perisa, produk kebersihan, ubat-ubatan, barangan persekolahan dan kebersihan rumah.