
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Choo Kah Sing, menolak rayuan Pirelli & C. S.p.A. terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan syarikat itu, pada 2023.
“Keputusan kami adalah sebulat suara. Kami tidak berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang. Tiada merit dalam rayuan ini,” kata Choo.
Panel berkenaan turut dibarisi Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid dan Amarjeet Singh, dengan mahkamah memerintahkan kos sebanyak RM30,000 kepada Chip Hwa Sdn Bhd.
Peguam Alyshea Low mewakili Pirelli & C. S.p.A, manakala Karin Lim dan Nicholas Lim bertindak bagi pihak Chip Hwa.
Pada November 2020, syarikat tayar terbabit memfailkan saman di Mahkamah Tinggi terhadap Chip Hwa, mendakwa berlakunya kelirupaan, atau mengambil kesempatan secara salah, serta memohon deklarasi bahawa firma tempatan itu melanggar jenama dan tanda dagang ‘Pirelli’ yang terkenal di seluruh dunia, beserta relif sampingan.
Pirelli memohon untuk membatalkan tanda dagang Chip Hwa atas alasan tidak digunakan di bawah Seksyen 46 dan membatalkannya mengikut Seksyen 47 Akta Cap Dagangan 2019.
Pirelli juga menuntut ganti rugi, termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Chip Hwa mempertikaikan tuntutan berkenaan dengan berhujah ia sepatutnya ditolak atas alasan remedi terhad oleh masa dan kelewatan melampau.
Syarikat itu seterusnya berhujah, hak statutori mereka sebagai pemilik tanda dagang berdaftar tidak boleh diketepikan oleh tuntutan tort kelirupaan di bawah undang-undang lazim.
Chip Hwa menyatakan pada 1986, ia telah mendaftarkan tanda dagang barisan pakaiannya dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang memaparkan perkataan ‘Pirelli’ dengan huruf ‘P’ yang memanjang, berserta imej kuda dan pahlawan, dan justeru, ia berhak mendapat perlindungan di bawah Akta Cap Dagangan.
Syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka telah dimaklumkan mengenai tuntutan Pirelli pada 1993, apabila peguam cara Pirelli ketika itu menulis surat kepada pendaftar tanda dagangan untuk memohon tempoh masa bagi mencabar niat Chip Hwa untuk mendaftarkan tanda dagangnya.
Pada 1994, pendaftar memaklumkan kepada kedua-dua pihak prosiding bantahan dicadangkan Pirelli telah digugurkan kerana kegagalannya meneruskan permohonan tersebut, dan tanda dagang itu akan diteruskan untuk pendaftaran.
Pada 2003, Pirelli, melalui peguam caranya pada masa itu, meminta Chip Hwa untuk menyerah hak tanda dagang berdaftarnya kepada mereka, namun tidak menerima sebarang jawapan.
Pirelli akhirnya memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020.
Tiga tahun kemudian, Mahkamah Tinggi mendapati Pirelli telah menyedari penggunaan tanda dagang oleh Chip Hwa pada 1993, namun tidak mengambil tindakan membantah atau memohon membatalkannya selama 27 tahun.
Mahkamah memutuskan Pirelli telah ‘lalai atas haknya’ dan merestui penggunaan berterusan tanda dagang berkenaan oleh Chip Hwa, justeru, dihalang oleh kelewatan melampau daripada meneruskan prosiding.