Arkitek mengaku tak salah buat tuntutan palsu hampir RM1,500

Arkitek mengaku tak salah buat tuntutan palsu hampir RM1,500

Peguam berkata tertuduh pada mulanya enggan melantik peguam dan lantikan hanya dibuat pada saat akhir secara probono atau percuma.

kompleks mahkamah alor setar
Mahkamah Sesyen Alor Setar menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang arkitek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas dua pertuduhan membuat tuntutan elaun perjalanan palsu berjumlah RM1,494.50 bagi menghadiri acara rasmi Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2024.

Berita Harian melaporkan Suhaili Othman, 55, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Kakitangan Bahagian Arkitek JKR Kedah itu didakwa dengan niat memperdaya prinsipal mengemukakan dokumen tuntutan palsu elaun perjalanan kenderaan sendiri berjumlah RM894.50 untuk menghadiri Mesyuarat Arkitek JKR Malaysia di Melaka pada 11 hingga 14 Jun 2024 sedangkan dia menggunakan kenderaan projek.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu elaun perjalanan gantian kapal terbang berjumlah RM600 bagi menghadiri Sesi Perbincangan Bersama Datuk Pengarah Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat pada 15 hingga 16 Julai 2024, sedangkan dia menggunakan kenderaan projek.

Suhaili didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atika Ab Rashid meminta mahkamah menetapkan jaminan RM12,000, tetapi peguam Yusmadi Yusoff meminta jumlah itu dikurangkan antara RM2,000 hingga RM3,000 kerana tertuduh menanggung empat anak bersekolah dan seorang isteri.

Yusmadi berkata, tertuduh pada mulanya enggan melantik peguam dan lantikan hanya dibuat pada saat akhir secara probono atau percuma.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 4 Mac ini.

Tertuduh kemudian membayar jaminan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.