
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud, berkata lapan tuntutan lain masih dalam perbincangan, manakala lima lagi dirujuk untuk perbincangan pada peringkat tertinggi.
“Kerajaan akan terus memastikan pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara berhemah, inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan Malaysia,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Matbali Musah (GRS-Sipitang) mengenai manfaat langsung yang dijangka dirasai rakyat Sabah dan Sarawak hasil penambahbaikan struktur MA63.
Mengenai tempoh penyelesaian baki tuntutan itu, Mustapha berkata, ia tertakluk kepada beberapa faktor utama, termasuk perbezaan tafsiran undang-undang antara pelbagai pihak terlibat serta proses perundangan yang perlu melalui tempoh panjang.
Setakat ini, katanya, 13 tuntutan telah selesai, antaranya pengiktirafan Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah serta Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
Selain itu, pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 bagi melantik wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah bagi penjanaan kuasa elektrik, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak serta pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.
Mustapha berkata, komitmen kerajaan dalam memartabatkan hak Sabah dan Sarawak terbukti menerusi keberanian kerajaan dalam melakukan pembaharuan struktur, termasuk menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagi mempercepat proses rundingan serta penyelesaian tuntutan.
Menurutnya, kesungguhan kerajaan terserlah melalui sokongan fiskal signifikan dengan peningkatan belanjawan pembangunan 2026 sebanyak RM6.9 bilion dan RM6 bilion, masing-masing kepada Sabah serta Sarawak.