
Anwar menafikan dakwaan pembangkang bahawa seluas 5,207 hektar tanah telah diserahkan kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung berhampiran Nunukan, dekat sempadan Sabah.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa setakat ini apa yang dipersetujui hanyalah satu persefahaman antara kerajaan selepas bertahun-tahun tinjauan bersama dijalankan, namun ‘proses lain’ masih belum diselesaikan.
Anwar menambah, di bawah perjanjian awal itu, Malaysia akan memperoleh tambahan kawasan tanah berdasarkan garis sempadan yang dipersetujui dengan Jakarta, termasuk di Pulau Sebatik dan segmen Sinapat-Sesai.
Bagaimanapun, katanya, cadangan sempadan baharu itu masih perlu dirujuk kepada Dewan Undangan Negeri berkaitan dan seterusnya kepada Majlis Raja-Raja.
Perdana menteri berkata persefahaman yang dicapai setakat ini antara Malaysia dan Indonesia masih berada pada peringkat rundingan.
“Proses itu masih belum jalan, belum selesai. Ada bahagian yang belum selesai, baru ada persefahaman di antara dua-dua pemimpin dan dua-dua kerajaan.
“Semua peraturan yang menyentuh soal sempadan akan dirujuk kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya.
Anwar menjawab pertanyaan Shafie Apdal (Warisan–Semporna) yang berkata sebarang perubahan sempadan tidak boleh dibuat hanya melalui rundingan antara Putrajaya dan Jakarta, dengan merujuk kepada Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
Perdana menteri berkata semakan itu bertujuan menangani kawasan sempadan yang sebelum ini tidak pernah dimuktamadkan di lapangan, memandangkan peta lama dan titik sungai tidak sentiasa sepadan dengan penemuan pasukan ukur di lapangan.
Beliau berkata Malaysia dan Indonesia telah memulakan kerja-kerja berkaitan sempadan sejak 1977 dan menanganinya secara berperingkat, dengan pegawai dari kedua-dua negara dihantar ke kawasan pedalaman bagi mengesahkan penanda sempadan dan muara sungai.
Anwar turut mengkritik pembangkang kerana membuat dakwaan tidak benar berhubung isu tersebut, yang menurutnya boleh menjejaskan hubungan baik antara Jakarta dan Putrajaya.
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul kemudiannya mencadangkan supaya perkara itu dirujuk kepada sebuah jawatankuasa Parlimen untuk dibincangkan secara terperinci dan memanggil pihak-pihak berkaitan, memandangkan isu tersebut bersifat teknikal dan kebanyakan ahli Parlimen berkemungkinan tidak bersedia untuk membahaskannya.
Johari berkata pengerusi jawatankuasa itu kemudiannya boleh membentangkan laporan di Dewan Rakyat, jika perlu.
“Jika kita terus berbahas begini, kita akan menghabiskan sepanjang hari.”