
Beliau berkata walaupun kemajuan dicapai dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan, cabaran sepanjang rundingan itu boleh menimbulkan kebimbangan awam, lapor Borneo Post.
“Saya berharap Majlis Gabungan Persatuan Bumiputera Asli Sabah (Magebs) dan presiden pelbagai kumpulan etnik dapat bekerjasama untuk bantu ahli memahami bahawa ketika kita perjuangkan hak, kita juga ada tanggungjawab untuk pastikan hubungan persekutuan dan negeri kekal kukuh serta harmoni,” katanya di mesyuarat Magebs di Kota Kinabalu hari ini.
“Kita tidak mahu ketegangan meningkat akibat isu-isu ini sehingga menimbulkan pergeseran antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, atau dalam kalangan NGO di negeri ini.”
Beliau juga menggesa Magebs dan pemimpin kumpulan etnik memainkan peranan masing-masing dalam mengekalkan keharmonian dan menyokong pembangunan berterusan negara, sambil menambah beliau sendiri memantau rundingan itu bagi pastikan garis masa yang diarahkan mahkamah dipatuhi.
Pada 17 Okt lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Sabah berhak menerima 40% daripada hasil persekutuan yang diperoleh daripada negeri itu.
Mahkamah mengarahkan kerajaan persekutuan menjalankan semakan bersama Sabah bagi menentukan hak 40% negeri itu bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Mahkamah juga memerintahkan supaya semakan tersebut dimulakan dalam tempoh 90 hari dan diselesaikan dalam tempoh 180 hari.
Mustapha berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk meneliti data cukai agensi persekutuan di Sabah susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu.