
Pertemuan ketua-ketua parti itu disifatkan sebagai perbincangan awal bagi ‘menentukan hala tuju’ sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin selaku pengerusi gabungan serta melantik penggantinya.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan berkata, perkembangan ini menyusuli perbincangan terdahulu antara PAS dan Bersatu berhubung masa depan gabungan itu.
“Berdasarkan perbincangan awal antara PAS dan Bersatu, Muhyiddin telah mengutus surat kepada semua presiden parti komponen PN,” kata Punithan kepada FMT.
Punithan berkata, pertemuan antara PAS dengan Bersatu itu mencapai kata sepakat mengenai beberapa perkara penting, antaranya cadangan pindaan perlembagaan dan struktur kepimpinan PN, merangkumi majlis presiden serta Majlis Tertinggi.
Katanya, Muhyiddin yang melepaskan jawatan pengerusi PN pada 1 Jan lepas telah memberi taklimat secara peribadi kepada beliau dan Presiden Gerakan Dominic Lau mengenai perbincangan terbabit.
Menurut Punithan, MIPP dan Gerakan menyokong hala tuju yang telah dipersetujui itu.
“Gerakan dan MIPP bersetuju dengan hala tuju mengenai pindaan perlembagaan, majlis presiden serta Majlis Tertinggi,” katanya.
Punithan menambah, mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang amat dinanti-nantikan itu hanya akan bersidang selepas kata sepakat dicapai antara presiden parti.
“Apabila kami sudah putuskan hala tuju, barulah kami akan panggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan.”
Muhyiddin, Azmin Ali dan Radzi Jidin tidak diundang ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan Khamis ini susulan peletakan jawatan mereka dalam gabungan itu.
Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan memaklumkan hanya mereka yang masih memegang jawatan dalam gabungan itu diundang ke mesyuarat tersebut.
Bagaimanapun, seorang pemimpin yang sehaluan dengan Muhyiddin mendakwa beliau sepatutnya tetap diundang memandangkan beliau masih presiden parti komponen PN.