Anwar gesa redakan ketegangan AS-Iran yang kian meruncing

Anwar gesa redakan ketegangan AS-Iran yang kian meruncing

Perdana menteri berkata, konflik terbuka berisiko tingkat serangan proksi, ancam keselamatan maritim serta kejutan ekonomi yang boleh merebak.

anwar ibrahim kakitangan
PM Anwar Ibrahim seru negara-negara berpengaruh agar memainkan peranan untuk redakan ketegangan antara Washington dan Tehran demi kestabilan sejagat.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran agar mengambil langkah meredakan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara, berikutan kebimbangan tercetusnya konflik terbuka di Timur Tengah.

Anwar berkata, keadaan di rantau tersebut sudah sedia tegang dan tindakan menahan diri adalah amat penting pada masa ini.

“Tumpuan aset ketenteraan serta retorik umum yang semakin mutlak mengehadkan ruang tolak ansur pada saat ia amat diperlukan,” katanya menerusi kenyataan.

“Sebarang konfrontasi antara Washington dan Tehran akan membawa padah kepada seluruh Timur Tengah yang kini berada dalam keadaan rapuh. Risiko peningkatan serangan proksi, ancaman keselamatan maritim serta kejutan ekonomi boleh merebak jauh melangkaui rantau tersebut.

“Tiada kepentingan strategik mewajarkan kemusnahan nyawa dan harta benda sedemikian rupa. Imperatif keamanan mesti mengatasi segala pertimbangan lain. Malaysia menggesa semua pihak untuk berundur dari ambang konflik dan kembali memberi komitmen terhadap diplomasi dengan serius dan segera.”

Anwar menggesa kedua-dua negara memanfaatkan sepenuhnya saluran komunikasi diplomatik bagi mengelakkan tercetusnya konflik besar-besaran.

Beliau turut menyeru negara-negara lain yang mempunyai pengaruh dalam konteks ini agar memainkan peranan untuk meredakan ketegangan antara Washington dan Tehran demi kestabilan sejagat.

Washington dilaporkan tidak menolak kemungkinan campur tangan ketenteraan baharu di Iran susulan tindakan keras negara itu terhadap protes yang mengorbankan ribuan nyawa dalam tempoh beberapa hari, menurut kumpulan hak asasi manusia.

Kumpulan tempur kapal induk AS yang diketuai USS Abraham Lincoln tiba di perairan Timur Tengah pada Selasa, dengan Iran berikrar akan bertindak balas terhadap sebarang serangan Washington.

Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump berkata, beliau percaya Iran masih mahu berunding dengan Washington dan ‘memeterai perjanjian’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.