Dedah maklumat perbankan, Hafizuddeain repot polis Chegubard

Dedah maklumat perbankan, Hafizuddeain repot polis Chegubard

Bekas panglima tentera darat itu nafikan transaksi-transaksi dalam maklumat perbankan yang dibocorkan itu.

Hafizuddeain Jantan n Badrul Hisham Shaharin
Bekas panglima tentera darat, Hafizuddeain Jantan buat laporan polis dakwa Badrul Hisham Shaharin dedah maklumat peribadinya di media sosial.
PETALING JAYA:
Bekas panglima tentera darat, Hafizuddeain Jantan membuat laporan polis terhadap aktivis Badrul Hisham Shaharin selepas maklumat peribadinya didedah di media sosial.

Peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Hafizuddeain berkata anak guamnya mengesan maklumat peribadi seperti laporan perbankan didedahkan di laman Facebook milik Badrul atau dikenali sebagai Chegubard itu.

Hafizuddeain yang ditemani peguamnya membuat dua laporan polis di IPD Dang Wangi pada 12.30 tengah hari tadi, lapor Berita Harian.

Aizul berkata Badrul membuat kenyataan tidak benar dan maklumat perbankan yang disebarkan mengandungi beberapa transaksi yang dinafikan.

Menurutnya, penyebaran data berkenaan juga adalah menyalahi undang-undang di bawah seliaan Bank Negara (BNM).

“Hafizuddeain dalam laporannya turut menafikan transaksi-transaksi dalam maklumat yang dibocorkan itu,” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam satu sidang media di luar IPD Dang Wangi.

Dalam satu lagi laporan, Hafizuddeain turut menafikan beliau memiliki serta memakai jam tangan mewah berjenama Patek Phillipe.

Aizul berkata, dakwaan itu palsu dan mengelirukan kerana jam tangan itu adalah jam rasmi dikeluarkan Tentera Darat yang tertera ‘Chief Of Army’.

“Untuk tindakan selanjutnya, kami akan menunggu hasil laporan siasatan polis dan sebarang tindakan adalah berdasarkan bukti yang bakal diperoleh,” katanya.

Pada Khamis lalu, Hafizuddeain dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM2.197 juta.

Hafizuddeain didakwa menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM2,122,400 yang dikreditkan ke dalam akaun banknya dalam empat transaksi berasingan masing-masing berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000.

Salwani pula didakwa menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang berjumlah RM77,000 yang dikreditkan ke dalam akaun bank CIMB milik Wany Venture, di mana beliau bekerja sebagai pengurus syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.