
Pemangku Presidennya, Yusoff Mahadi, berkata langkah itu demi menegakkan prinsip tadbir urus baik dan akauntabiliti, khasnya apabila keyakinan awam perlu dipelihara.
Jelasnya, keputusan itu dibuat sebulat suara dan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman akan terus menyelia operasi harian FAM dengan bantuan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Beliau berkata, jawatankuasa itu mahu memberi ruang kepada Fifa dan AFC menilai serta menyemak semula secara bebas, selain menangani perkara berkaitan tadbir urus, pentadbiran dan prosedur dalam FAM, jika perlu.
“Kami melakukan ini untuk melindungi integriti dan reputasi FAM…berdasarkan perkembangan terkini yang menarik perhatian awam signifikan serta penelitian luaran,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM.
“Jawatankuasa mahu memastikan sebarang pembaharuan yang diperlukan dapat dilakukan tanpa gangguan atau konflik dirasakan, dengan asas kepercayaan diperbaharui.
“Mengekalkan kredibiliti institusi penting demi kestabilan, kemampanan dan pembangunan masa depan bola sepak Malaysia.”
Tegasnya, Jawatankuasa Eksekutif FAM mengiktiraf kepentingan tanggungjawab kolektif dan keperluan bertindak bagi melindungi integriti serta kedudukan persatuan.
Setiausaha Agung AFC, Windsor John, berkata AFC dipelawa membantu FAM menjalankan penilaian komprehensif ke atas beberapa aspek dalaman, termasuk pentadbiran, pengurusan dan perkara lain berkaitan bola sepak.
Menurutnya, AFC akan membentuk sebuah pasukan diketuai Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany untuk menjalankan penilaian dan menyediakan laporan bagi mengukuhkan FAM.
“Penilaian itu akan membabitkan proses ‘benchmarking’ dengan persatuan bola sepak moden bagi mengenal pasti jurang serta aspek memerlukan penambahbaikan,” katanya dalam sidang media sama.
Beliau berkata, AFC akan menjalankan analisis dan membentangkan laporan kepada pihak berkepentingan.
FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dihukum Fifa September lalu selepas badan induk bola sepak dunia itu mendakwa FAM mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam Jun lalu.
FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan.
Pada 3 Nov lalu, Fifa mengumumkan ia menolak rayuan FAM terhadap hukuman itu yang mendorong FAM memulakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Semalam, FAM dilaporkan berkata, CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan dikemukakan tujuh pemain itu, yang membolehkan mereka beraksi semula dan menyertai aktiviti berkaitan bola sepak sehingga CAS mencapai keputusan muktamad berhubung rayuan berkenaan.