
Semasa sesi pemeriksaan balas oleh peguam SRC International, Kwan Will Sen, bekas perdana menteri itu ditanya mengenai keputusannya melantik bekas CEO SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, sebagai pengurus akaun.
Najib berkata beliau tidak mengenali Nik Faisal, yang pelantikannya dicadangkan oleh setiausaha peribadi utama beliau ketika itu, Azlin Alias.
Kwan: Anda melantik Nik Faisal sebagai individu atau proksi untuk mengurus akaun bank anda, betul?
Najib: Betul. Saya bertanya kepada Azlin siapa yang akan dilantik, dan beliau memaklumkan bahawa Nik Faisal dipilih sebagai individu yang diberi kuasa.
Najib berkata beliau selesa dengan pengaturan itu:
“Pertama, beliau memang layak sebagai akauntan. Kedua, saya dimaklumkan bahawa ayah Nik Faisal (Nik Ahmad Kamil Nik Mahmood) adalah bekas speaker Dewan Rakyat dan rapat dengan ayah saya. Oleh sebab itu, saya tiada bantahan.”
Apabila ditanya sama ada melantik seseorang yang tidak dikenali berisiko, Najib menjawab: “Saya tidak sangka akan ada masalah dengan akaun saya. Saya tiada sebab untuk meragui beliau.”
Najib memberi keterangan dalam saman sivil difailkan SRC International Sdn Bhd dan Gandingan Mentari Sdn Bhd untuk menuntut RM42 juta yang didakwa diseleweng dari akaun syarikat.
Nik Faisal, bersama lima bekas pengarah SRC lain, dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman itu dan masih bebas.
‘Akaun AmBank bukan untuk kegunaan peribadi’ (sub head)
Najib, 72, menegaskan walaupun akaun AmBank didaftarkan atas namanya, dana itu untuk aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), bukan kegunaan peribadi.
Kwan menekankan tiada dokumen akaun bank menyebut mengenai aktiviti CSR.
Najib menjelaskan: “Ia bukan akaun peribadi untuk urusan saya sendiri. Ia atas nama saya, tapi untuk menerima sumbangan bagi CSR. Walaupun tidak dinyatakan, itu niatnya.”
Najib dipenjara sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC, dengan hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta.
Susulan permohonan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan 2024 mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
Najib diwakili oleh Farhan Shafee.
Perbicaraan di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.