Tubuh Mahkamah Tinggi khas dengar kes rasuah

Tubuh Mahkamah Tinggi khas dengar kes rasuah

Keputusan itu menyusul rundingan Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah dengan Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

kl high court
Penubuhan Mahkamah Tinggi khas untuk mendengar kes rasuah akan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan mengumumkan penubuhan sebuah Mahkamah Tinggi khas bagi mendengar kes rasuah dan rayuan daripada Mahkamah Sesyen khas.

Menurutnya, keputusan itu menyusul rundingan Hakim Besar Malaya, Hashim Hamzah dengan Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

“Sebagai permulaan, inisiatif ini akan dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Setakat ini, 14 Mahkamah Sesyen khas ditubuhkan di seluruh negara untuk mendengar kes rasuah, dengan sasaran menyelesaikan kes dalam tempoh setahun dari tarikh difailkan.

Inisiatif penubuhan Mahkamah Tinggi khas untuk mendengar kes rasuah sebagai respons kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ketika merasmikan sidang Parlimen 2026 semalam.

Baginda menyeru kerajaan melantik hakim berpengalaman dan mewujudkan laluan mahkamah khas supaya kes rasuah dapat didengar serta diselesaikan dengan cepat.

Sultan Ibrahim menegaskan rasuah perlu diperangi secara besar-besaran dan tanpa kompromi, sambil memberi amaran masalah itu merebak ke pelbagai institusi dan peringkat kuasa.

Baginda turut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dengan pantas, tegas dan menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.