
Menurutnya, kenyataan “pintu tidak dibuka seluas-luasnya atau ditutup serapat-rapatnya” oleh Zahid semalam disalah tafsir sesetengah pihak.
Puad berkata, berdasarkan kefahamannya, kenyataan itu sebenarnya ditujukan kepada Ahli Parlimen Bersatu yang berasal dari Umno, tetapi melompat parti selepas PRU14 pada 2018.
“Mereka ini dialu-alukan kembali ke pangkuan Umno. Tetapi, mestilah ada benda yang mesti dipersetujui bersama (itu maksud pintu tidak dibuka seluas-luasnya atau ditutup serapat-rapatnya),” katanya tanpa menjelaskan perkara perlu dipersetujui bersama.
“Kalau itu berlaku, maka peristiwa parti Semangat 46 berulang lagi dan parti itu dibubarkan,” katanya dalam catatan Facebook.
Beliau berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sudah “hilang kawalan” ke atas partinya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk pergelutan kuasa antara Muhyiddin dan Timbalannya, Hamzah Zainudin, yang membawa kepada pemecatan Ahli Parlimen Wan Saiful Wan Jan serta Saifuddin Abdullah.
Bersatu ditubuhkan pada 2016 oleh bekas pemimpin Umno, termasuk Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin, Mukhriz Mahathir dan beberapa individu lain.
Selepas Barisan Nasional tumbang pada PRU14, sebahagian Ahli Parlimennya melompat ke Bersatu.
Antaranya Hamzah, Ketua Bersatu Sabah Ronald Kiandee, Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid dan Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz.