
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, PAS kembali bersikap agresif selepas berasa diremehkan oleh kepimpinan tertinggi Umno, apabila idea MN 2.0 ditolak mentah-mentah.
“Apabila Umno menolak, PAS merasakan tindakan parti itu tidak wajar. Sebab itu PAS kembali agresif,” katanya kepada FMT.
Mazlan percaya isu MN 2.0 tidak akan timbul lagi lalu menjangkakan aksi serang-menyerang secara terbuka memandangkan tiada lagi titik pertemuan untuk bekerjasama.

Beliau sudah menjangkakan penolakan di pihak Umno memandangkan peringkat atasan parti masih berasa dikhianati selepas PAS memilih untuk bersama Bersatu.
Terdahulu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad mencabar Zahid untuk terus bersaing secara sihat di medan politik, sambil menegaskan tiada keperluan untuk kedua-dua parti dibubarkan demi agenda di luar kerangka demokrasi.
Cabaran itu menyusuli ucapan Zahid semalam, yang berharap PAS terbubar selepas Umno memasukkan agama Islam dalam perlembagaannya.
Ucapan itu muncul di kala Umno bersiap sedia untuk perhimpunan agung tahun ini, ketika ketua Pemudanya menyatakan hasrat agar Umno dan PAS dapat bersatu ‘demi penyatuan orang Melayu’ pada 3 Jan lalu.
Seruan Akmal untuk bekerjasama dengan PAS menyusuli gesaan Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor, untuk menghidupkan semula MN menjelang PRU akan datang.
“Laungan parti Melayu bersatu ini bukan sesuatu yang baru malah ia pernah dicuba dan berakhir dengan kegagalan dan perpecahan,” kata Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia.
“Kedua-dua parti berbeza dari segi ideologi dan asas sokongan massa.”