Kesuma masih kaji lanjut, halusi dasar baharu penggajian ekspatriat

Kesuma masih kaji lanjut, halusi dasar baharu penggajian ekspatriat

Menteri Kesuma harap keputusan muktamad mengenai perkara tertunggak dapat diumum akhir bulan ini atau awal bulan depan.

R RAMANAN
Menteri Kesuma R Ramanan berkata, pihaknya sedang teliti pelbagai aspek dasar penggajian ekspatriat agar ia dapat dilaksana secara menyeluruh dan terselaras.
PUTRAJAYA:
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang menjalankan kajian lanjut dan menganalisis data bagi memperhalus pelaksanaan dasar baharu penggajian ekspatriat yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Jun ini.

Menteri Kesuma R Ramanan berkata, pihaknya kini meneliti pelbagai aspek dasar itu bagi memastikan ia dilaksana secara menyeluruh dan terselaras, mengambil kira keperluan tenaga kerja dalam jangka sederhana serta jangka panjang.

“Kami sebenarnya sedang membuat kajian dan akan membuat keputusan namun sudah tentu memerlukan lebih banyak data serta butiran lanjut … dari segi jangka sederhana dan jangka panjang, kami akan mengambil langkah yang perlu apabila tiba masanya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan dan Majlis Amanat Tahun Baharu Kesuma 2026.

Beliau berkata, Kesuma kini pada peringkat akhir memuktamadkan rangka kerja dasar itu dan perbincangan telah berlangsung sejak awal tahun di tengah-tengah jadual mesyuarat Jemaah Menteri dan sesi pasca Jemaah Menteri yang padat.

Ramanan berharap keputusan muktamad mengenai perkara-perkara tertunggak dalam dasar itu dapat diumumkan selewat-lewatnya pada akhir bulan ini, atau paling lewat awal bulan depan.

Menjelaskan matlamat lebih luas dasar itu, Ramanan berkata, kerajaan berhasrat mengutamakan kepulangan bakat Malaysia yang kini bekerja di luar negara dengan menawarkan pekerjaan yang kompetitif dan bergaji tinggi setanding dengan gaji yang diperoleh di luar negara.

Pada masa sama, beliau berkata, bakat asing kekal penting untuk pembangunan negara terutama dalam menyumbang kepada pemindahan ilmu, latihan dan kemahiran kursus sambil menekankan bahawa bakat tempatan serta asing perlu wujud bersama dalam satu ekosistem.

Mengulas mengenai had 10 tahun bagi pas penggajian ekspatriat sedia ada, beliau berkata, perancangan penggantian adalah penting bagi memastikan jawatan bergaji tinggi akhirnya diisi oleh warganegara Malaysia terutama selepas ekspatriat berkhidmat dalam tempoh yang panjang.

“Bagi jawatan bergaji tinggi, selepas 10 tahun, bukankah lebih wajar kita tawarkan terlebih dahulu kepada warganegara Malaysia sebelum ditawarkan kepada warga asing?” katanya menambah, perancangan penggantian kini adalah terpakai kepada ekspatriat Kategori 2 dan 3.

Ramanan berkata, Kesuma juga sedang meneliti ekspatriat Kategori 1 bagi memastikan pendekatan yang menyeluruh sambil menekankan bahawa keputusan perlu dibuat dengan berhati-hati kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kelangsungan hidup pekerja.

“Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Kesuma akan memberi kesan kepada ramai orang. Ini adalah berkaitan dengan kesejahteraan pekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.