
Berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2025, Akmal berkata penyatuan orang Melayu perlu dilakukan dengan ‘hati terbuka; dan keberanian melupakan pertelingkahan lama.
“Kalau kita asyik bercakap tentang sejarah silam, kita takkan bergerak ke hadapan. Dengan DAP, dulu mereka bantai kita dan sampai sekarang masih kritik, tetapi kita boleh bekerjasama.
“Takkanlah dengan saudara sesama Islam kita tak boleh bekerjasama? Takkan kita tak boleh maafkan? Letakkan ego ke tepi dan bangunkan parti ini bersama-sama,” katanya.
Umno pernah bekerjasama dengan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN) selepas PRU14, namun terkubur selepas penubuhan Perikatan Nasional (PN) menyaksikan PAS bersama Bersatu menjelang PRU15.
Umno pula bersama Pakatan Harapan (PH) dianggotai DAP dan parti lain membentuk kerajaan perpaduan manakala PAS kembali menjadi pembangkang.
Pada konvensyen khas Pemuda Umno 3 Jan lalu, Akmal menggesa Umno keluar kerajaan dan bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang. Namun Presiden Zahid Hamidi berkata parti itu kekal dalam pentadbiran Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
Akmal berkata beliau mahu mengangkat idea mewujudkan ‘tekad dua parti’ antara Umno dan PAS, sambil menegaskan pintu kerjasama itu turut terbuka kepada parti lain yang mahu menyertai agenda penyatuan Melayu.
“Dah tiba masanya orang Melayu bersedia bergerak ke arah satu penyatuan. Ia bukan mudah dan saya tahu akan ada banyak halangan. Tetapi ingat, tiada penyatuan besar lahir dari zon selesa,” katanya.
Mengulas kritikan terhadap cadangan bekerjasama dengan PAS, Akmal berkata Pemuda Umno sedar ada pihak marah, namun menegaskan perjuangan itu didorong agenda lebih besar.
“Kalau dengan musuh sejak merdeka pun kita boleh bekerjasama, apa lagi dengan mereka yang sebangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal mengumumkan Pemuda Umno akan menganjurkan Himpunan Tekad Ummah selepas PAU, yang menghimpunkan parti politik Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik Melayu.
Katanya, himpunan itu bertujuan membincangkan kepentingan agama dan bangsa, serta menolak dakwaan ia bersifat kebencian.
“Ini bukan himpunan kebencian, tetapi himpunan kesedaran. Saya bersedia memimpin usaha ini demi penyatuan ummah,” katanya.