Isyarat Umno-Bersatu mungkin ‘mesej’ kepada PAS, kata penganalisis

Isyarat Umno-Bersatu mungkin ‘mesej’ kepada PAS, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata kerjasama dua seteru pada PRU16 sukar direalisasi kerana sejarahnya.

Muhyiddin Yassin zahid hamidi
Kelmarin Zahid Hamidi berkata Umno ambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ perkembangan Bersatu yang berdepan krisis dalaman serta PN susulan kontroversi pelantikan pengerusi gabungan selepas peletakan jawatan Muhyiddin Yassin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerjasama Umno dan Bersatu pada PRU16 mungkin sukar direalisasikan berdasarkan sejarah perseteruan, menurut penganalisis yang melihat perkembangan itu sekadar ‘jentikan’ terhadap PAS.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Razali Idris, supaya Presiden Umno Zahid Hamidi dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bersemuka untuk menjayakan kerjasama itu mungkin penegasan kepada PAS.

Katanya, ia mungkin isyarat kepada PAS supaya tidak meninggalkan Perikatan Nasional (PN) kerana Bersatu juga sedia bertindak di luar jangkaan termasuk bekerjasama dengan seterunya seperti Umno.

“Hakikatnya kita tahu sukar untuk Umno bekerjasama dengan Bersatu, sejarah lama menyebabkan kenapa Bersatu ditubuhkan.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“Sebab itu, saya kata ini strategi pencegahan untuk memberi amaran kepada PAS, jangan tinggalkan PN kerana Bersatu juga mempunyai pilihan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Zahid dipetik berkata Umno mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ perkembangan Bersatu yang berdepan krisis dalaman serta dalam PN susulan kontroversi pelantikan pengerusi gabungan itu selepas peletakan jawatan Muhyiddin.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan hanya selepas itu sebarang kemungkinan mengenai kerjasama dengan parti tersebut bakal dimuktamadkan kelak.

Susulan itu, Razali menggesa Zahid dan Muhyiddin bersemuka untuk membincangkan kemungkinan kerjasama menghadapi PRU16 yang disifatkan tidak mustahil.

Menurut ketua Bersatu Terengganu itu, ini kerana kedua-duanya pernah bekerjasama bawah pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berkata, gesaan itu berpotensi mencetuskan dilema baharu dan membentuk blok pakatan Melayu-Islam yang boleh menekan kedudukan PAS dari dalam PN sendiri.

“Ini bukan sekadar soal teknikal kerjasama tetapi menyentuh soal legitimasi PAS sebagai parti mendakwa mewakili suara majoriti Melayu-Islam.

“Dalam konteks PRU16, PAS mungkin terpaksa berdepan risiko kehilangan kelebihan psikologi sebagai parti dominan kerana gabungan Umno–Bersatu mampu menawarkan naratif alternatif penyatuan Melayu tanpa dominasi tunggal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.