Insya-Allah ada ‘benda baik’ selepas ini, kata KJ

Insya-Allah ada ‘benda baik’ selepas ini, kata KJ

Dipercayai kenyataan Khairy Jamaluddin itu mungkin bayangan beliau kembali ke Umno selepas dipecat pada 2023.

Khairy Jamaluddin hadir ke persidangan Pemuda Umno selepas dipecat Umno pada 2023.
KUALA LUMPUR:
Khairy Jamaluddin memaklumkan ada ‘benda baik’ bakal berlaku selepas beliau kembali menjejak kaki ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Bekas ketua Pemuda Umno itu bagaimanapun tidak memaklumkan secara jelas berita baik berkenaan, namun dipercayai sebagai bayangan akan kembali menyertai Umno selepas dipecat pada Jan 2023.

“Jadi hari ini ialah hari yang sangat-sangat emosional bagi saya. Saya dapat pulang ke perhimpunan parti saya.

“Insya-Allah, (ada) benda-benda baiklah lepas ini,” katanya kepada media selepas hadir persidangan Pemuda Umno di Dewan Merdeka.

Ditanya apakah beliau akan kembali kepada Umno, Khairy hanya memaklumkan dirinya akan melakukan apa yang perlu selepas ini.

“Selangkah ke hadapan, insya-Allah. Hari ini saya kembali sebagai pemerhati dan selepas ini kita akan buat apa yang perlulah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kehadirannya ke persidangan sayap Pemuda Umno selain dijemput Dr Akmal Saleh, Khairy turut memaklumkan dirinya telah meminta izin Presiden Zahid Hamidi.

“Semalam saya jumpa dengan Datuk Seri Zahid di majlis tahlil, tahlil untuk Tun Razak. Saya tanya dia, bolehkah saya datang hari ini.

“Saya kata kalau Datuk Seri tak nak saya datang, saya tak datang. Saya hanya akan datang kalau Datuk Seri bagi izinlah untuk saya datang. Dia kata, silalah datang,” katanya.

Mengulas cadangan penyatuan parti Melayu yang mahu diperjuangkan Akmal, Khairy berkata ia satu usaha baik dan ia bukan bermaksud menjejaskan perpaduan kaum dalam negara.

“Usaha yang baik tetapi Akmal juga kata ini bukanlah perhimpunan kebencian, bukan usaha akan menjadikan kaum-kaum bukan Melayu rasa terancam.

“Jadi saya nampak usaha ini usaha yang murni dan saya harap bahawa usaha ini dapat menyatukan orang Melayu tetapi pada masa yang sama, macam Akmal kata tadi, janganlah menjadi satu agenda kebencian terhadap mana-mana kaum yang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.