Tiada ‘Team A, B atau C’ dalam DAP, kata Loke

Tiada ‘Team A, B atau C’ dalam DAP, kata Loke

Setiausaha agung DAP itu menepis gambaran Zahid Hamidi mengenai kewujudan puak dalam parti berkenaan, sambil menegaskan ia hanya mempunyai satu pasukan.

Loke Siew Fook berkata pelik dari segi politik jika beliau memberitahu kewujudan puak-puak dalam DAP kepada orang lain.
KLANG:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menafikan wujud kumpulan atau puak dalam parti itu seperti cuba digambarkan Presiden Umno Zahid Hamidi, semalam.

Berucap merasmikan Konvensyen DAP Selangor, Loke berkata tiada ‘Team A,B atau C’ dalam parti itu sebaliknya hanya ada satu pasukan.

“Team DAP sahaja,” katanya sambil menegaskan pelik dari segi politik jika beliau memberitahu hal berkait puak-puak dalam partinya kepada orang lain.

Semalam, Zahid ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2025 (PAU2025) memberi gambaran Loke memberitahunya tentang kewujudan ‘Team B’ dalam DAP yang tidak sehaluan dengan kepimpinan utama parti itu.

Dakwanya, puak itu menjadi dalang di sebalik beberapa kenyataan ditujukan kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini dipenjarakan.

Zahid dilaporkan berkata mereka yang bertindak menyerang Najib dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh adalah sebahagian daripada ‘Team B’ DAP, sekali gus membayangkan wujudnya perpecahan dalam parti itu.

Keadaan itu menyebabkan ketegangan semakin memuncak antara Umno dan rakan sekutunya dalam kerajaan perpaduan.

Loke turut berseloroh yang PAU2025 diadakan dari Rabu hingga semalam menyaksikan nama DAP disebut berulang kali dan menjadi fokus laporan berita.

“Walaupun parti lain adakan perhimpunan agung, tapi macam perbincangan parti lain…semua pasal DAP dan salah DAP.

“Ucapan saya (pada konvensyen DAP Selangor) seolah-olah ucapan penggulungan kepada perbahasan telah dilaksanakan dalam beberapa hari ini dalam perhimpunan agung Umno.

“Ada yang betul dan salah. Apa yang betul, saya cakap betul. Tetapi ada yang faktanya salah, saya perlu perbetulkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.