
Presidennya William Ng menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan menyita lesen perniagaan hotel berkenaan serta arahan penutupan selama sehari, walaupun pihak berkuasa tidak menemui sebarang pelanggaran terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Melaka) 1991.
Ng berkata pendekatan mengambil tindakan penguatkuasaan terlebih dahulu berdasarkan dakwaan tular di media sosial dan hanya memberikan justifikasi selepas itu adalah sesuatu yang membimbangkan serta berpotensi menjejaskan perniagaan.
“Dengan sasaran kerajaan yang bercita-cita tinggi untuk menarik 47 juta pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sektor hospitaliti dan PKS dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan.
“Namun, pertumbuhan ini bergantung kepada kepastian perniagaan dan kedaulatan undang-undang. Apabila kuasa pentadbiran digunakan untuk menghukum perniagaan berdasarkan sentimen, bukannya undang-undang yang ditetapkan, ia mewujudkan persekitaran yang tidak menentu dan boleh menghalau pelabur serta pelawat tempatan dan asing.
“Kami menggesa pihak berkuasa tempatan supaya segera mengembalikan lesen perniagaan hotel itu dan membenarkannya beroperasi semula sementara siasatan diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyerbu hotel berkenaan susulan dakwaan ia ‘mesra gay’, namun tidak menemui sebarang pelanggaran terhadap enakmen syariah negeri.
Exco Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman, berkata MPHTJ menyita lesen perniagaan hotel tersebut bagi memudahkan siasatan kerana pemiliknya tidak berada di lokasi ketika serbuan dijalankan.
Hotel itu diarahkan ditutup selama sehari sementara pemilik dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan ‘mesra gay’ itu.
Rahmad berkata lesen berkenaan hanya akan dipulangkan sekiranya penjelasan pemilik didapati memuaskan.
Ng memberi amaran bahawa penutupan secara sewenang-wenangnya seperti itu menjejaskan reputasi Malaysia sebagai destinasi yang stabil dan mesra perniagaan, sambil menegaskan arahan penutupan serta penyitaan lesen sepatutnya hanya dibuat selepas siasatan selesai, bukannya sebelum.
Beliau turut memberi amaran tindakan sedemikian boleh menjejaskan jenama pelancongan Malaysia, memandangkan pelancong cenderung memilih destinasi yang selamat serta menegakkan kedaulatan undang-undang.
Bagaimanapun, Ng juga mengingatkan pengusaha perniagaan supaya peka terhadap sensitiviti budaya dan beroperasi dengan tahap kesedaran sosial yang tinggi bagi mengelakkan sebarang isu yang boleh menjejaskan perniagaan mereka.