
Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim, berkata pembaharuan lesen juga tidak akan diberikan sehingga pemindahan penternakan dilakukan di ladang babi moden berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang akan dipercepat.
“Kita akan beri masa untuk mereka pindah, tetapi saya kena dapatkan keputusan daripada MMKN pada Rabu ini sebagai panduan untuk dilaksanakan kepada pemilik-pemilik ladang.
“Ini kerana tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) tidak berkenan dengan pemberian pembaharuan lesen ternakan babi di Tanjung Sepat bermakna kita kena percepatkan proses (pembangunan) di Bukit Tagar.
“Kita akan mencari jalan untuk mempercepatkan pemindahan semua ladang-ladang yang ada di Kuala Langat (Tanjung Sepat) dan Sepang (Sungai Belankan),” katanya menurut Utusan Malaysia.
Katanya, kerajaan negeri juga akan meneliti proses pemulihan semula tanah-tanah tapak ladang supaya ia boleh kembali digunakan untuk kegiatan ekonomi lain.
Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Izham dalam pertemuan selama 45 minit yang turut membincangkan keperluan bekalan makanan kepada masyarakat bukan Islam di negeri ini.
Minggu lalu, dilaporkan kerajaan negeri bersedia memberi pertimbangan kepada pemilik ladang untuk mematuhi secara berperingkat dan menguruskan isu teknikal terhadap permohonan lesen dalam tempoh sebulan.
Pertimbangan tersebut dilihat sebagai kebenaran kebenaran ternakan babi kepada pemilik 112 ladang di Tanjung Sepat dengan pematuhan syarat secara berperingkat dalam tempoh setahun.
Malah, Izham menjelaskan tiada kebenaran eksport babi akan diberikan pada operasi di ladang baharu nanti, sebaliknya ia hanya memenuhi 60% ‘standing peak population’ (SPP).
“Saya tidak pernah kata ia akan dieksport. Selama ini pun tak pernah eksport. Tetapi, ada yang datang dari Perak dan dihantar ke pusat penyembelihan di Rawang.
“Selain itu, ladang berpusat di Bukit Tagar seluas kira-kira 500 ekar (202 hektar) akan dibuat secara tertutup dan mempunyai zon penampan antara ladang dengan ladang dan kawasan luar untuk elak masalah bau dan pencemaran.”