
Nurhisam Johari berkata, Umno Terengganu menderita dengan pelbagai helah PAS.
“Ketika MN, kami Umno di Terengganu menderita dengan pelbagai helah, kami didera dengan pelbagai tipu muslihat dan disisihkan semahu-mahunya dengan pelbagai alasan.
“Seperti di negeri-negeri yang ada DAP dan mereka kecewa dengan pelbagai gelagat songsang DAP, kami di Terengganu lebih kecewa dengan sikap dan perangai PAS,” katanya dalam perbahasan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Beliau yang juga timbalan ketua Umno Dungun, berkata Umno Terengganu akan berdepan kekalahan sekiranya PRU diadakan dalam masa terdekat.
“Bukan bermakna kami menyerah sebelum berjuang. Namun, hakikat yang terpaksa kami akur, bahawa suasana atau sentimen politik di Terengganu berbanding di negeri-negeri lain amat berbeza.
“Tanpa strategi dan gerak kerja yang lebih tersusun, jangkauan kita untuk menawan semula Terengganu akan menempuh jalan sukar,” katanya.
Katanya, beliau mahu Umno pusat menyerahkan autonomi untuk memilih pakatan politik, lebih-lebih lagi sekiranya melibatkan PAS dan DAP.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan kerjasama itu bukan sahaja relevan dan boleh diterima dalam kalangan parti, sebaliknya penerimaan rakyat Terengganu secara keseluruhannya.