4 Adun Bersatu angkat sumpah exco Perlis

4 Adun Bersatu angkat sumpah exco Perlis

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah menggalas enam portfolio.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bergambar bersama barisan exco baharu selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah di Istana Arau hari ini. (Gambar Bernama)
ARAU:
Empat Adun Perlis daripada Bersatu mengangkat sumpah jawatan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) di Istana Arau di sini, hari ini.

Adun Titi Tinggi Izizam Ibrahim, Adun Sena Marzita Mansor, Adun Pauh Megat Hashirat Hassan dan Adun Tambun Tulang Wan Zikri Afthar Ishak mengangkat sumpah jawatan di depan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam istiadat bermula 11.20 pagi tadi.

Turut berangkat pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Exco itu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Hadir sama Menteri Besar Abu Bakar Hamzah, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Rus’sele Eizan, Setiausaha Kerajaan Negeri Rahimi Ismail serta lima Adun PAS, termasuk bekas menteri besar Shukri Ramli dan seorang Adun Pakatan Harapan.

Pada 28 Dis lalu, Abu Bakar yang juga Adun Kuala Perlis mengangkat sumpah jawatan menteri besar susulan peletakan jawatan Shukri, yang juga Adun Sanglang, atas faktor kesihatan.

Sementara itu, Rahimi dalam hantaran di Facebook Pejabat SUK Perlis memaklumkan Abu Bakar memegang portfolio pentadbiran dan kewangan, pelaburan dan ekonomi, tanah dan sumber asli, pelancongan dan seni budaya, infrastruktur dan kemajuan luar bandar serta keselamatan dan hubungan sempadan.

Izizam pula memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Modal Insan, manakala Marzita (pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan, Kebajikan dan Kemiskinan).

Megat Hashirat selaku pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Kesihatan, Keusahawan dan Koperasi dan Alam Sekitar, manakala Wan Zikri (pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan dan Sains, Teknologi dan Inovasi).

Pada 30 Dis lalu, Abu Bakar dilaporkan berkata, pelantikan exco baharu Perlis boleh diteruskan dengan sekurang-kurangnya empat ahli susulan keputusan PAS tidak menyertai barisan pentadbiran negeri di bawah kepimpinannya.

Katanya, jumlah minimum lantikan barisan exco Perlis ialah empat orang, iaitu satu pertiga daripada jumlah Adun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.