Lebih mudah bekerja dengan DAP banding MCA, kata MB Pahang

Lebih mudah bekerja dengan DAP banding MCA, kata MB Pahang

Wan Rosdy Wan Ismail berkata DAP yang sebelum ini jadi pembangkang sangat bekerjasama dan beri nasihat yang baik.

wan rosdy
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata perbezaan ideologi politik antara Umno dan DAP tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk masyarakat Melayu berpecah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata kehadiran wakil DAP dalam pentadbiran beliau membantu memudahkan urusan kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata kadangkala lebih mudah berurusan dengan Exco DAP berbanding dengan MCA.

Sebagai contoh, kata beliau, DAP banyak menyokong inisiatif kerajaan negeri seperti pemberian bantuan kepada penjawat awam.

“Semasa tidak ada DAP pun dalam kerajaan Pahang, kita bayar (bantuan penjawat awam) sebulan setengah gaji saja.

“(bila) DAP ada dalam barisan exco, bila saya kata nak beri dua bulan gaji, satu ayat pun tak dengar mereka membangkang,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata.

Wan Rosdy menjawab kritikan bahawa kerajaan perpaduan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Pahang bersifat sekular serta tidak menjaga kebajikan orang Melayu dan umat Islam.

Tambah beliau, DAP sering beri sokongan dan nasihat yang baik dalam pentadbiran.

“Kadang kala mereka berikan nasihat yang baik berkenaan ketirisan, jalan berlubang dan sebagainya,” katanya.

Wan Rosdy berkata, perbezaan ideologi politik antara Umno dan DAP tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk masyarakat Melayu berpecah.

Exco Pahang kini dianggotai seorang wakil DAP (Adun Triang, Leong Yu Man) dan seorang wakil PKR (Adun Teruntum Sim Chon Siang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.