
Ketua pengarah pilihan raya PN berkata, berdasarkan Perlembagaan PN, sebarang keputusan peletakan jawatan pengerusi gabungan perlu dibuat dalam mesyuarat majlis tertinggi.
Katanya, mesyuarat Majlis Tertinggi PN boleh membuat keputusan menolak peletakan jawatan Muhyiddin dan presiden Bersatu itu masih boleh kekal memegang jawatan tersebut.
“Belum tentu (peletakan jawatan Muhyiddin) sebab peletakan jawatan pengerusi PN walaupun dia umum dan tulis surat tapi peletakan jawatan secara Perlembagaan PN mesti dibuat dalam mesyuarat.
“Jadi, secara rasmi peletakan itu belum sah. Jadi kita tak perlu kata orang itu nak jadi pengerusi, orang ini nak kerana dia letak belum sah lagi. (Muhyiddin) Kena letak dalam mesyuarat dan diterima dalam mesyuarat maka sah peletakan itu.
“Tiba-tiba mesyuarat buat keputusan sebaliknya, maka kekal (jawatan pengerusi PN) walaupun dia umum satu dunia (letak jawatan),” katanya dalam sidang media di Alor Setar, menurut Berita Harian.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan pengerusi PN selepas lima tahun mengetuai gabungan itu berkuat kuasa 1 Jan lalu, susulan kemelut politik di Perlis yang menyaksikan pertukaran menteri besar antara PAS dan Bersatu.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan beliau kekal sebagai presiden Bersatu dan komited memastikan parti terus bekerjasama dalam PN.
Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan mesyuarat Majlis Tertinggi PN menolak peletakan jawatan Muhyiddin, Sanusi menjelaskan jika keadaan itu berlaku, ia akan menyebabkan bekas perdana menteri tersebut dilihat sebagai tidak tetap pendirian.
“Tapi kalau (Muhyiddin) kekal akan memberi kesan jadi ‘flip flop’ pula, dia sudah bertekad takkan dalam mesyuarat tak diterima pula. Mesyuarat PN akan diadakan dalam tempoh seminggu,” katanya.