KPM tambah peruntukan RM5 juta pasang CCTV di sekolah

KPM tambah peruntukan RM5 juta pasang CCTV di sekolah

Ia antara beberapa tindakan tambahan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi keselamatan di sekolah dan menangani isu disiplin murid.

pelajar student
KPM berkata seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai November ini bagi memenuhi keperluan semasa.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan tambahan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah terpilih di seluruh negara sebagai langkah memperkukuh keselamatan dan menangani isu disiplin murid.

Peruntukan itu menjadikan jumlah keseluruhan bagi pemasangan CCTV meningkat kepada RM8 juta, termasuk RM3 juta yang diumumkan sebelum ini.

Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata langkah itu antara beberapa tindakan tambahan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan keselamatan institusi pendidikan serta menangani isu disiplin murid.

Ia turut memaklumkan, seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 Guru Bimbingan dan Kaunseling turut akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai November ini bagi memenuhi keperluan semasa dan memperkukuh sokongan psikososial murid.

“Seramai 600 orang Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan murid asrama sekaligus mengurangkan beban tugas Warden Asrama,” katanya.

KPM turut memperkukuh kerjasama dengan pihak polis melalui Jawatankuasa Pemuafakatan Sekolah, merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah, selain polis akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan kerajaan.

“Fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan terus diperkasakan bertujuan membantu dari aspek psikososial dalam situasi krisis. Guru-guru akan diberi latihan dan pendedahan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di sekolah,” katanya.

Kementerian itu turut menegaskan, peranan Pengetua, Guru Besar dan Jawatankuasa Disiplin akan dipertingkat dalam menangani salah laku murid, termasuk kuasa merotan, penggantungan dan buang sekolah seperti termaktub dalam peraturan semasa.

“Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan murid berdasarkan kepada keperluan. Pada waktu ini KPM sedang dalam proses menggubal semula peraturan disiplin murid,” katanya.

KPM turut meneliti semula Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) bagi memastikan ia digunakan secara lebih proaktif dalam mengurus dan menangani isu disiplin di sekolah.

Selain itu, ia berkata sesi pertemuan dan dialog dengan murid dan guru perlu diadakan untuk mengetahui keperluan dan perkara yang berbangkit, serta inisiatif ‘kotak suara murid’ yang selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh waktu terdekat bertujuan melindungi murid di sekolah.

“KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkukuhkan program saringan kesihatan mental bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam termasuk intervensi dan sokongan psikososial yang berterusan untuk murid,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.