‘Umno sertai kerajaan perpaduan bukan untuk selamatkan saya’, kata Zahid

‘Umno sertai kerajaan perpaduan bukan untuk selamatkan saya’, kata Zahid

Presiden Umno berkata dakwaan penyertaan parti itu bertujuan melindungi dirinya hanyalah tuduhan berulang pihak tertentu.

Zahid Hamidi membidas tuduhan yang mengatakan pembabitan Umno dalam kerajaan perpaduan hanya untuk menyelamatkan dirinya.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi menegaskan penyertaan parti itu dalam kerajaan perpaduan sejak tiga tahun lalu bukan untuk menyelamatkan dirinya seperti didakwa pihak tertentu.

Menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, Zahid berkata ada pihak tertentu sering meratib dakwaan terbabit.

“Itu tuduhan, Zahid dah selamat pun,” katanya.

Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 8 Jan lalu mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung 47 tuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Zahid.

AGC menjelaskan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes tersebut, memandangkan keterangan yang ada, hasil siasatan susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan bagi semua tuduhan.

Pasukan guaman Zahid yang juga presiden Umno kemudian berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat bagi menukar perintah lepas tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum ini kepada kepada lepas dan bebas (DAA).

Pada 2023, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah membenarkan DNAA bagi Zahid atas 47 pertuduhan berkenaan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

Zahid berkata ada juga pihak tertentu mendakwa beliau telah melupakan semangat setiakawan dengan bekas presiden Umno Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara.

“Zahid dikatakan mengenepikan setiakawannya kepada Najib. Malah, simpati kita, pembelaan kita, solidariti kita kepada beliau menjadi bahan momokan dan dipersendakan.

“Apabila menyebut nama Najib, sokongan kita tidak pernah berubah. Usaha pembelaan kita tidak pernah goyah. Malah, beliau telah menghubungi saya untuk menitipkan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada sidang perwakilan semua,” katanya.

Menurutnya, Umno juga memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mempertimbangkan meringankan hukuman Najib untuk membolehkannya kembali ke pangkuan keluarga.

Najib dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 Sept 2022, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan mengurangkan tempoh pemenjaraan Najib kepada enam tahun dan menurunkan denda kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.