Alasan tolak PAS kerana ‘hardline’ tiada beza dengan DAP

Alasan tolak PAS kerana ‘hardline’ tiada beza dengan DAP

Penganalisis ulas pendedahan bekas pegawai Muhyiddin Yassin bahawa Gerakan dan MIPP menentang cadangan PAS ambil alih pengerusi PN.

pn leader Perikatan Nasional Selangor
Penganalisis kata Gerakan dan MIPP wajar cuba strategi baharu dengan memberikan peluang kepada PAS.
PETALING JAYA:
Penganalisis melihat persamaan antara DAP dengan pihak-pihak yang menggunakan imej ‘hardline’ sebagai alasan untuk tidak memberi peluang kepada PAS menerajui Perikatan Nasional (PN).

Malah, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata alasan itu tidak relevan memandangkan persiapan PN untuk PRU16 melibatkan akar umbi dan jentera PAS.

“Menggunakan taktik menakutkan pengundi bukan Melayu terhadap PAS membuatkan parti-parti ini tiada bezanya dengan DAP yang juga menggunakan taktik sama,” katanya kepada FMT.

Bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, pada Ahad menulis tentang pertemuan di kediaman presiden Bersatu itu pada 16 Jan, mengatakan PAS mahukan jawatan pengerusi tetapi ditentang oleh Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Menurutnya, Gerakan dan MIPP bersetuju Muhyiddin mengetuai majlis presiden PN, kerana beliau boleh mengimbangi “imej Islam PAS yang lebih bersifat ‘hardline'”.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara tidak yakin mengekalkan Bersatu sebagai teraju PN akan mengubah nasib Gerakan dan MIPP.

“Kalau mereka mahu juga Bersatu dan Muhyiddin mengetuai PN, ia mengekalkan status quo di mana Gerakan dan MIPP tidak berjaya menarik bukan Melayu,” katanya.

Azmi berkata Gerakan dan MIPP wajar mencuba strategi baharu dengan memberikan peluang kepada PAS, mengatakan parti itu pernah mendapat sokongan padu pengundi bukan Melayu ketika bersama DAP.

“Beri peluang dahulu kepada PAS, mungkin nasib Gerakan dan MIPP untuk menarik pengundi bukan Melayu akan menjadi lebih baik dengan mencuba sesuatu yang baharu. Parti itu pernah mendapat sokongan padu golongan tersebut ketika bersama DAP,” katanya.

Sebelum ini, dalam sepucuk surat bocor, Muhyiddin menyatakan bahawa Bersatu dan PAS bersetuju untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula gabungan itu, seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat pada 16 Jan.

Beliau menambah bahawa majlis presiden, yang diterajui Bersatu, akan menjadi badan pembuat keputusan tertinggi PN, manakala majlis eksekutif yang dipimpin PAS akan menguruskan hal pentadbiran.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan Muhyiddin dengan mengatakan isu pemansuhan jawatan itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.