Cadangan angkat Sanusi jadi pengerusi PN tak janggal, kata penganalisis

Cadangan angkat Sanusi jadi pengerusi PN tak janggal, kata penganalisis

Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah berkata situasi itu tidak berlaku biarpun secara tradisinya pucuk pimpinan akan menerajui gabungan.

GRAND FINALE PN - BIDOR
Semalam, nama Sanusi Nor mendapat persetujuan Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya sekiranya beliau dicadangkan untuk jawatan pengerusi PN, menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Cadangan mengangkat Menteri Besar Kedah Sanusi Nor sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak janggal dalam konteks PAS era baharu yang lebih terbuka, kata penganalisis.

Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata situasi itu tidak berlaku biarpun secara tradisinya mana-mana pucuk pimpinan gabungan akan diterajui oleh presiden parti komponen utama.

“Tidak janggal kerana dalam PAS era baharu sekarang ini, ada keterbukaan dalam kalangan sayap parti dan pimpinan ulama dan bukan dalam dewan ulama (professional).

“Namun, secara tradisi, mana-mana pucuk pimpinan parti gabungan perlulah diterajui oleh presiden parti,” katanya kepada FMT.

Syahruddin Awang Ahmad
Syahruddin Awang Ahmad.

Semalam, nama Sanusi Nor mendapat persetujuan Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahaya sekiranya beliau dicadangkan untuk jawatan pengerusi PN, menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Ahmad dalam satu catatan di Facebook mendakwa banyak pihak mencadangkan Sanusi sebagai pengerusi PN dan beliau bersetuju dengan perkara itu.

Mengulas lanjut, Syahruddin berkata kenyataan itu membuktikan kelompok ulama dalam PAS bukan sekadar menyokong individu, tetapi cuba membentuk naratif bahawa Sanusi ialah calon paling berpotensi bagi mengukuhkan kedudukan PN di peringkat nasional.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak yang kurang selesa dengan cadangan berkenaan yang mungkin mahukan Menteri Besar Terengganu Samsuri Mokhtar sebagai calon pengerusi PN.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Katanya, ini kerana Samsuri sering dikaitkan dengan jangkaan untuk menjadi calon perdana menteri.

Bagaimanapun beliau berkata, hakikat sebenarnya adalah PAS tidak mempunyai tokoh yang benar-benar mampu meraih sokongan menyeluruh merentasi pelbagai kelompok.

“Kekuatan Sanusi terletak pada kedudukannya yang tidak sepenuhnya berada dalam kelompok ulama atau profesional, sekali gus menjadikannya calon kompromi yang lebih mudah diterima.

“Selain itu, pengaruh ketua ulama yang besar dalam parti turut mengukuhkan kedudukan Sanusi.

“Pada akhirnya, PAS kekal sebagai parti yang menekankan disiplin dalaman dan kepimpinan parti dijangka berusaha mengelakkan perpecahan faksi agar ia tidak dilihat sebagai parti yang berpecah-belah,” katanya.

Pada 30 Dis lalu, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuatkuasa 1 Jan, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Kelmarin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan isu jawatan pengerusi akan dibawa ke majlis tertinggi gabungan yang dianggotai presiden parti-parti komponen.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini menawarkan kesediaan parti untuk menerajui PN, dengan berkata hasrat berkenaan bertujuan memperkasa organisasi dan sebagai persiapan bagi menghadapi PRN dan PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.