Pejabat MB Perlis akan lantik penyelaras di 3 DUN kawasan PAS

Pejabat MB Perlis akan lantik penyelaras di 3 DUN kawasan PAS

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah kata urus tadbir bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji akan ditangani oleh pejabatnya.

abu bakar hamzah
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah kata pihaknya akan rujuk PAS apabila pusat khidmat dibuka di DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pejabat Menteri Besar Perlis akan melantik penyelaras bagi pusat khidmat rakyat yang akan dibuka di DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji.

Kekosongan luar jangka diumumkan di tiga kerusi tersebut, oleh Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan, selepas keahlian tiga wakil rakyatnya dalam PAS terhenti.

Menteri besar baharu, Abu Bakar Hamzah, mengumumkan urus tadbir bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji akan ditangani oleh pejabatnya.

“Apabila berlaku pembukaan pusat khidmat di kawasan itu, maka kita akan merujuk juga kepada kepimpinan PAS sebab itu kawasan kerusi mereka,” katanya, lapor Bernama.

Semalam, speaker mengumumkan DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji akan kekal kosong sehingga pilihan raya akan datang.

Pada 24 Dis lalu, PAS mengumumkan keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti, susulan laporan mengatakan mereka menarik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.

Presiden Hadi Awang berkata ketetapan berkenaan keahlian tiga individu terbabit, dibuat berdasarkan Fasal 15A(1)(b) perlembagaan PAS.

Fasal 15A(1)(b) menyatakan keahlian seorang ahli dipilih sebagai seorang Adun terhenti serta-merta apabila ahli tersebut menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Shukri yang juga Adun Sanglang melepaskan jawatan menteri besar atas faktor kesihatan pada Khamis lalu. Abu yang juga Adun Kuala Perlis mengangkat sumpah jawatan menteri besar pada 28 Dis.

Sementara itu, Abu memaklumkan senarai nama calon ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baharu akan dipersembahkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada minggu depan.

Nama calon exco terdiri daripada empat Adun Bersatu.

“Memang terlalu mencabar sebab kita ada banyak portfolio… kali ini sekurang-kurangnya lima portfolio satu exco kena pegang,” katanya.

Pada sidang media Selasa lepas, Abu memaklumkan pelantikan exco baharu boleh diteruskan dengan sekurang-kurangnya empat ahli susulan keputusan PAS untuk tidak menyertai barisan pentadbiran negeri bawah kepimpinannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.