
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, walaupun siasatan tertumpu kepada fakta dan tanggungjawab peribadi, pendedahan isu perolehan bernilai besar melalui pihak ketiga menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan mekanisme kawalan sedia ada.
“Dalam sistem perolehan pertahanan, terdapat pelbagai lapisan semakan seperti perancangan, kelulusan kewangan, pelaksanaan, audit dan pemantauan.
“Jika amalan bermasalah boleh berlarutan tanpa dikesan, ini menandakan kelemahan struktur dan kawalan,” katanya kepada FMT.
Jais berkata, kelemahan itu boleh berpunca daripada kegagalan mekanisme semak dan imbang, budaya kepatuhan yang lemah atau suasana dalaman yang tidak menggalakkan laporan awal, sekali gus menuntut pembetulan sistem yang lebih menyeluruh.
Mengulas keperluan menyeimbangkan keselamatan negara dan ketelusan, Jais menegaskan, kedua-duanya bukan prinsip yang bercanggah, sebaliknya perlu diurus secara bijaksana.
Beliau berkata, kerahsiaan tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup tadbir urus kewangan dan proses membuat keputusan melibatkan dana awam.
“Keseimbangan boleh dicapai melalui ketelusan proses, audit bebas dengan akses terkawal, serta pengawasan Parlimen melalui jawatankuasa khas yang berfungsi secara substantif,” katanya.
Dilaporkan pada 26 Dis, semakan awal SPRM terhadap perolehan projek tentera darat mendapati beberapa buah syarikat kerap memperoleh projek bernilai tinggi.
Beberapa hari kemudian, SPRM menyita enam akaun bank susulan dakwaan aliran wang ke akaun bank seorang pegawai kanan tentera.
Seiring siasatan kes itu, Panglima Tentera Darat Hafizuddeain Jantan diarahkan bercuti bagi membolehkan siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan melibatkan beliau.
Kementerian Pertahanan hari ini mengumumkan pelantikan Hafizuddeain sebagai panglima angkatan tentera ditangguhkan, dan Azhan Md Othman dilantik sebagai panglima tentera darat baharu, berkuat kuasa esok.
Mengulas perkembangan itu, golongan veteran tentera menyifatkan langkah itu sebagai tepat.
Presiden Persatuan Kor Pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc) Abdul Aziz Ibrahim berkata, ia dapat mengelakkan persepsi negatif bahawa pengurusan tertinggi tentera dan kementerian bersekongkol dalam isu tersebut, selain melancarkan siasatan.
Menurut beliau, pemilihan Azhan sebagai pengganti Hafizuddeain juga tidak tersasar, berdasarkan pengalaman, kewibawaan serta kebolehannya.