Isu 5 Adun dibawa ke mesyuarat Bersatu pada Januari, kata sumber

Isu 5 Adun dibawa ke mesyuarat Bersatu pada Januari, kata sumber

PAS sebelum ini 'berharap' Bersatu ambil tindakan tegas terhadap Adun Perlis terlibat tandatangan SD.

bersatu logo
Sumber memaklumkan isu 5 Adun Bersatu tarik balik sokongan kepada menteri besar Perlis akan dibawa ke mesyuarat pada Januari.
PETALING JAYA:
Bersatu akan membincangkan isu lima Adun yang menarik balik sokongan kepada bekas menteri besar Perlis Shukri Ramli dalam satu mesyuarat pada Januari, menurut sumber.

“Sudah tentu perkara ini akan dibawa ke satu mesyuarat dalam masa terdekat yakni Januari,” menurut sumber yang dekat dengan kepimpinan Bersatu.

“Buat masa sekarang tidak ada apa yang boleh dikatakan. Sesiapa pun tidak boleh kerana ia belum dibincangkan. Buat masa sekarang, parti atau sesiapa sahaja tidak boleh bertindak tanpa perkara ini dibincangkan terlebih dahulu.”

Pada 25 Dis lalu, PAS ‘berharap’ Bersatu mengambil tindakan tegas terhadap Adun yang terlibat menandatangani akuan berkanun, berlatarkan kemelut yang membawa kepada peletakan jawatan Shukri sebagai menteri besar.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tegas penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam Perikatan Nasional.

Sebelum itu, sumber memberitahu FMT bahawa lima Adun Bersatu didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

Shukri meletak jawatan selepas tiga tahun menggalas amanah itu, atas alasan faktor kesihatan. Jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu, dengan Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Bersatu berpegang pada pendirian Presiden Muhyiddin Yassin, yang mahu mendengar penjelasan lima wakil rakyat terbabit.

“Parti akan mendengar penjelasan Adun tersebut sebelum apa apa tindakan,” katanya kepada FMT.

“Presiden juga telah jelaskan bahawa parti tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk tandatangan sebarang akuan berkanun.”

Pada Sabtu, Muhyiddin berkata, tiada arahan dikeluarkan kepada lima Adun berkenaan untuk menarik balik sokongan terhadap Shukri.

Difahamkan Muhyiddin kini sedang berada di luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.