
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar, berkata penilaian itu bukan didorong emosi atau kepentingan sempit, tetapi berdasarkan realiti politik semasa dan maslahat jangka panjang parti serta rakyat.
“Pemuda PAS Selangor menyeru kepimpinan PAS Pusat melakukan penilaian tegas dan berani terhadap hubungan dengan Bersatu demi menjaga imej dan prinsip perjuangan Islam, memperkukuh kekuatan parti serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PAS sebagai parti masa depan negara,” katanya dalam kenyataan.
Pagi tadi, Muhyiddin Yassin mengumumkan pengundurannya sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Jan ini.
Ia susulan kemelut di Perlis yang menyaksikan lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi menarik sokongan terhadap Shukri Ramli sebagai menteri besar.
Shukri yang juga Adun Sanglang melepaskan jawatan menteri besar atas faktor kesihatan pada Khamis lalu dan digantikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah.
Hari ini, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengumumkan exco parti itu di Perlis akan melepaskan jawatan sebagai tanda solidariti dan ia juga tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang akan dibentuk Abu Bakar.
Sukri berkata, menilai semula hubungan politik sebahagian proses islah dan muhasabah demi kebaikan ummah.
“‘Pengkhianatan’ dan ‘tikam kawan’ yang berlaku baru-baru ini menyedarkan kita semua betapa pentingnya elemen kejujuran dan kesetiaan bagi merealisasikan matlamat perjuangan bersama.”
Katanya, PAS tidak patut terus menjadi “penyelamat” parti lain sehingga merugikan masa depan perjuangannya susulan prestasi Bersatu dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini yang menunjukkan kemerosotan sokongan, khasnya pengundi Melayu.
“Realiti yang berlaku di banyak kawasan, Bersatu hanya bergantung kepada kekuatan PAS untuk kelangsungan politik mereka.
“Namun, tuntutan kerusi dan pengaruh sering kali tidak seimbang dengan sumbangan sebenar. Ini bercanggah dengan semangat keadilan dan keikhlasan dalam konsep tahaluf siyasi.”