
Dua sumber yang dekat dengan pimpinan parti komponen berkata cadangan tersebut pernah dibentangkan dalam mesyuarat tertinggi PN, berlatarkan kemelut dalaman Bersatu ketika itu, namun pihak tertentu meminta ia ‘ditambah baik’ terlebih dahulu.
Menurut sumber, PAS ketika itu mencadangkan penubuhan suatu majlis dianggotai Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Hadi Awang, Presiden Gerakan Dominic Lau, dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan, dengan kuasa untuk memilih pengerusi baharu.
Sumber berkata PAS kali ini berharap cadangan itu dapat dipersetujui dan direalisasikan, susulan peletakan jawatan Muhyiddin, hari ini.
Katanya, cadangan itu bagi “mengelakkan rasa tidak puas hati yang bakal timbul kerana PN akan mempunyai badan tertinggi untuk menasihat, sebagaimana majlis syura dalam PAS”.
Sementara itu, ditanya tentang calon yang mungkin dipertimbangkan oleh majlis tersebut sekiranya tertubuh, sumber menamakan tiga individu iaitu Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Mereka ini dilihat mesra semua kaum,” katanya.
Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Jan, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Muhyiddin memimpin PN sejak 7 Ogos 2020, ketika gabungan itu didaftarkan secara rasmi.