Isu jawatan pengerusi akan dibawa ke MT PN, tegas PAS

Isu jawatan pengerusi akan dibawa ke MT PN, tegas PAS

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan PAS mahu isu pengerusi PN dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi PN.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man kata memperkukuhkan PN perkara utama di sebalik perbincangan tentang pengerusi gabungan.
PETALING JAYA:
Isu jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan dibawa ke majlis tertinggi gabungan yang dianggotai presiden parti-parti komponen, tegas PAS.

“Apa yang penting semua pihak berusaha memperkukuhkan PN,” kata Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man kepada FMT, ketika ditanya berkenaan calon PAS bagi jawatan pengerusi PN, susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Tuan Ibrahim mengesahkan PAS mahu isu itu dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi PN, selaras perlembagaan gabungan.

Susulan peletakan jawatan Muhyiddin hari ini, tiga parti komponen iaitu Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia menerusi sayap Pemuda masing-masing menyeru semua keputusan atas nama PN mesti diputuskan dalam majlis tertinggi gabungan.

Kata Hilman Idham, Lee Boon Shian, dan Justin Prabakaran dalam kenyataan bersama, sebarang keputusan atau pendirian atas nama PN bukan hak mutlak mana-mana parti komponen secara unilateral.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menyahut seruan tersebut, mengatakan beliau bersetuju setiap keputusan dibuat secara konsensus.

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Jan, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Perkembangan ini disusuli dengan peletakan jawatan Azmin Ali sebagai setiausaha agung; serta Sahruddin Jamal, Ahmad Faizal Azumu, dan Mohamad Hanifah Abu Baker sebagai pengerusi PN Johor, Perak, dan Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.