
Ia mengesahkan sebuah lori kompaktornya terbabas di Jalan Iskandar, Bukit Kapar kira-kira 4.30 petang semalam, ketika dalam perjalanan ke tapak pelupusan bagi tujuan melupuskan sisa pepejal selepas selesai kerja kutipan.
“Berdasarkan maklumat awal, lori berkenaan dipercayai terbabas dan terjatuh ke dalam longkang.
“Faktor persekitaran dan keadaan jalan ketika kejadian sedang dikenal pasti sebagai sebahagian daripada siasatan dalaman yang sedang dijalankan pihak pengurusan.
“Insiden ini tidak melibatkan sebarang cubaan melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam kenyataan sambil menambah ia sudah membuat laporan polis.
Menurutnya, lori itu sudah dikeluarkan dari longkang dengan bantuan perkhidmatan tunda untuk dihantar ke bengkel bagi tujuan pemeriksaan teknikal serta pembaikan lanjut.
Ia berkata, pihaknya memandang serius aspek keselamatan operasi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta kebajikan pemandu, dan akan mengambil langkah penambahbaikan bersesuaian dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian sama berulang.