Pemandu e-hailing wanita 60 tahun cedera parah dikelar

Pemandu e-hailing wanita 60 tahun cedera parah dikelar

Suspek ditemui terbabit dalam kemalangan selepas menyerang mangsa di kawasan parkir Bandar Baru Salak Tinggi, malam tadi.

NORHIZAM BAHAMAN
Norhizam Bahaman berkata polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu e-panggilan wanita berusia 60 tahun cedera parah selepas diserang dan dikelar seorang lelaki di kawasan parkir Bandar Baru Salak Tinggi, malam tadi.

Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 9.40 malam berhubung kejadian itu.

“Mangsa mengalami kecederaan serius pada leher serta luka kelar di lengan kiri dipercayai menggunakan senjata tajam oleh suspek yang dikenali mangsa

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Norhizam berkata suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun, melarikan diri menggunakan kereta Perodua Bezza milik mangsa.

Jelasnya, kira-kira 11.15 malam, polis menemui suspek selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Desa Melati, Fasa 3, Nilai.

“Suspek ditemukan berlumuran darah dengan kecederaan di leher dan bersama sebilah pisau jenis kerambit di dalam kereta.

“Suspek kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Cyberjaya,” katany.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau 20 tahun jika kecederaan mangsa kekal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.