
Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mereka yang mendesak pelaksanaan larangan tersebut perlu belajar bersikap lebih terbuka, khususnya dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama. Jika tidak katanya, ‘lebih baik mereka hidup berasingan di pulau’, katanya kepada FMT.
Karim, yang juga menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak, berkata restoran yang diperakui halal menerima pelanggan daripada pelbagai agama dan lazimnya memasang hiasan sempena musim perayaan.
Beliau berkata, hiasan Hari Raya, Deepavali dan Tahun Baharu Cina tidak pernah menimbulkan sebarang aduan sebelum ini. “Jadi mengapa hiasan Krismas dilarang? Sejauh mana paranoidnya mereka ini?” katanya, sambil menegaskan bahawa hiasan Krismas tidak akan menjejaskan akidah umat Islam.
Semalam dilaporkan bahawa premis makanan dan hotel yang mempunyai pensijilan halal di negeri itu dilarang memasang hiasan Krismas, berdasarkan satu pekeliling yang didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).
Pekeliling tersebut dilaporkan menyatakan bahawa hiasan Krismas tidak dibenarkan di mana-mana hotel atau premis yang diperakui halal di Melaka kerana Krismas merupakan sambutan keagamaan, bukannya kebudayaan, yang boleh ‘menimbulkan isu berkaitan akidah’.
Dakwaan larangan itu mencetuskan kecaman, dengan Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee, menyatakan bahawa arahan tersebut, jika benar, merupakan satu langkah ke belakang bagi Melaka dan perlu diperbetulkan oleh kerajaan negeri.
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang juga Adun Merlimau, berkata hiasan Krismas di premis makanan dan hotel yang diperakui halal langsung tidak menjejaskan status halal makanan yang dijual. Beliau menggesa Jaim menyemak semula pekeliling berkenaan.