Wanita dakwa diserang kerana video TikTok

Wanita dakwa diserang kerana video TikTok

Mangsa mendakwa diserang tujuh individu dan kejadian tersebut turut disiarkan secara langsung oleh suspek.

Rani Arumugam
Rani Arumugam (kanan) dalam sidang media bersama peguam S Preakas berhubung serangan dialaminya di Serdang pada awal bulan ini.
PETALING JAYA:
Seorang wanita mendakwa diserang di tempat kerjanya di Serdang awal bulan ini susulan perbalahan dengan pengguna media sosial di TikTok.

Rani Arumugam, 45, berkata dia diserang di hadapan rakan sekerja dan pelanggan di sebuah kedai makanan segera di Stesen Shell Serdang Raya pada 8 Dis oleh sekumpulan tujuh individu, termasuk tiga wanita.

Menurut Rani, serangan itu berpunca daripada satu video dimuat naiknya di TikTok sebagai respons kepada seorang pengguna yang dikenali sebagai Nandini, yang didakwa telah mengganggu sepupunya.

Rani, yang mempunyai kecacatan fizikal akibat kecederaan tulang belakang, berkata beliau berasa dimalukan dan trauma akibat serangan itu, dan akibat kejadian tersebut telah digantung kerja.

“Mereka merakam video dan semua orang di tempat kerja saya memandang saya. Saya berasa sangat malu,” katanya pada satu sidang media.

Rani membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Bandar Kinrara. Laporan perubatan juga dikemukakan.

Peguam Rani, S Preakas, berkata anak guamnya telah ditumbuk di muka dan ditampar beberapa kali sehingga mengalami kecederaan.

“Kejadian itu disiarkan secara langsung di TikTok oleh salah seorang penyerang, namun video tersebut kemudian dipadamkan.”

Preakas berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berkenaan telah diperoleh polis dan terdapat alasan yang mencukupi untuk penyerang didakwa atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Beliau juga mendakwa ini bukan kali pertama kumpulan tersebut melakukan serangan kerana ia turut berlaku pada individu lain.

Preakas mendakwa kumpulan itu turut menyerang seorang individu lain di sebuah rumah di Pulau Pinang pada 17 Dis dan menyiarkan serangan itu secara langsung di TikTok.

Beliau menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap buli siber dan gangguan dalam talian, khususnya penggunaan ciri siaran langsung untuk menghasut keganasan, menjejaki individu dan menakut-nakutkan mangsa.

“Ini bukan lagi sekadar pertengkaran dalam talian. Taktik intimidasi seperti ini merupakan isu keselamatan awam yang serius dan tidak seharusnya dinormalisasi atau diabaikan.”

Sementara itu, Ketua Polis Serdang Farid Ahmad ketika dihubungi mengesahkan satu laporan telah dibuat, namun berkata beliau tidak dapat mendedahkan butiran lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.